Allah Akan Menyelamatkan Yerusalem
52
1 Bangunlah, hai Yerusalem, bangunlah!
Kuatkanlah hatimu! Kenakanlah pakaian kebesaranmu!
Hai Yerusalem, kota yang suci,
orang najis tidak akan memasuki pintu gerbangmu lagi. +
2 Bebaskanlah dirimu, hai Yerusalem!
Bangkitlah dan kebaskanlah debu yang melekat padamu.
Putuskanlah rantai yang mengikat leher kamu,
hai penduduk Sion yang tertawan!
3 TUHAN Raja berfirman kepada umat-Nya, “Ketika kamu menjadi hamba, kamu tidak dibeli dengan wang. Demikian juga ketika kamu dibebaskan, kamu tidak akan ditebus dengan wang. 4 Semasa kamu tinggal di Mesir sebagai orang bangsa asing, kamu pergi ke sana dengan kemahuan kamu sendiri. Lalu Asyur menawan kamu tanpa alasan. 5 Sekarang di Babilonia hal yang sama telah berlaku: kamu ditawan tanpa alasan. Mereka yang menawan kamu sentiasa memegahkan diri dan menghina Aku. + 6 Pada masa yang akan datang, kamu akan mengakui bahawa Akulah Allah, dan bahawa Aku telah berfirman kepada kamu.”
7 Betapa baiknya melihat kedatangan utusan,
dia datang melintasi pergunungan,
dan membawa berita baik, berita kedamaian!
Dia mengisytiharkan penyelamatan, dan berkata kepada Sion,
“Allahmu memerintah!” +
8 Para pengawal kota berteriak-teriak,
mereka bersorak bersama-sama kerana sukacita.
Dengan mata sendiri mereka melihat
TUHAN kembali ke Sion.
9 Bersorak-soraklah, hai runtuhan Yerusalem!
TUHAN akan menyelamatkan kota-Nya
serta menghiburkan hati umat-Nya.
10 TUHAN akan menggunakan kuasa-Nya yang suci
di hadapan semua bangsa.
Dia akan menyelamatkan umat-Nya,
dan seluruh bumi akan menyaksikannya.
11 Pergilah! Tinggalkanlah Babilonia,
hai kamu yang membawa perkakas Rumah TUHAN!
Janganlah sentuh apa-apa yang najis,v
sucikanlah diri kamu dan berangkatlah. +
12 Kamu tidak akan pergi tergesa-gesa
seperti orang yang melarikan diri.
TUHAN akan memimpin kamu,
Allah Israel akan melindungi kamu dari setiap penjuru.
Hamba yang Menderita
13 TUHAN berfirman,
“Hamba-Ku akan berjaya dalam tugasnya;
dia akan disanjung tinggi.w
14 Dahulu banyak orang terperanjat melihat dia,
kerana rupanya dicacati sehingga tidak lagi seperti rupa manusia.
15 Tetapi sekarang bangsa-bangsa hairan melihat dia,
raja-raja terpegun kerana kagum.
Mereka akan melihat dan memahami perkara-perkara
yang belum pernah diketahui mereka.” +
+ 52:1 Why 21.2, 27 + 52:5 Rm 2.24 + 52:7 Nah 1.15; Rm 10.15; Ef 6.15 v 52:11 apa-apa yang najis: Barang yang dianggap tidak bersih menurut peraturan agama. + 52:11 2 Kor 6.17 w 52:13 disanjung tinggi; atau disanjung dan ditinggikan lagi. + 52:15 Rm 15.21