SURAT YOHANES
YANG PERTAMA
Kata Pengantar
Surat Yohanes yang Pertama mempunyai dua tujuan utama, iaitu untuk menggalakkan para pembacanya supaya hidup bersatu dengan Allah dan Anak-Nya, Yesus Kristus, dan untuk memperingatkan mereka terhadap ajaran sesat yang dapat memusnahkan hubungan mereka dengan Allah dan Anak-Nya itu. Ajaran sesat itu berdasarkan kepercayaan bahawa kejahatan ditimbulkan oleh perhubungan dengan dunia ini. Dengan demikian Yesus, Anak Allah, tidak mungkin telah menjadi manusia. Guru-guru yang menyebarkan ajaran sesat itu berkata bahawa untuk diselamatkan, orang mesti bebas daripada kekhuatiran tentang kehidupan di dunia. Mereka juga mengajar orang bahawa penyelamatan tidak ada hubungannya dengan hal-hal tentang kesusilaan atau kasih bagi sesama manusia.
Untuk menentang ajaran itu, Yohanes menjelaskan bahawa Yesus betul-betul sudah menjadi manusia. Dia juga menekankan pentingnya hal ini: Orang yang percaya kepada Yesus dan mengasihi Allah mesti saling mengasihi.
Kandungan
Pendahuluan 1.1-4
Cahaya dan Kegelapan 1.5—2.29
Anak-Anak Allah dan Anak-Anak Iblis 3.1-24
Yang Benar dan Yang Salah 4.1-6
Kewajipan untuk Mengasihi 4.7-21
Iman yang Membawa Kemenangan 5.1-21
Firman yang Memberikan Hidup
1
1 Kami menulis surat kepada kamu tentang Firman yang memberikan hidup, iaitu Firman yang telah ada sejak permulaan. Kami sudah mendengarnya, dan kami sudah melihatnya dengan mata kepala sendiri. Kami sudah melihatnya dan kami sudah menyentuhnya dengan tangan. +
2 Ketika hidup sejati dan kekal itu dinyatakan, kami melihatnya. Itulah sebabnya kami memberikan kesaksian tentangnya. Kami memberitahu kamu tentang hidup sejati dan kekal, yang bersama-sama Bapa, dan yang sudah ditunjukkan kepada kami. +
3 Kami pun memberitahu kamu apa yang sudah kami lihat dan dengar, supaya kamu bersama-sama kami turut menghayati hidup bersatu dengan Bapa dan dengan Anak-Nya Yesus Kristus.
4 Kami menulis hal ini supaya kitaa benar-benar gembira.
Allah itu Cahaya
5 Inilah berita yang telah kami dengar daripada Anak-Nya dan yang kami isytiharkan kepada kamu: Allah itu cahaya, dan pada-Nya tidak ada kegelapan sama sekali.
6 Jika kita berkata bahawa kita hidup bersatu dengan Dia, padahal kita hidup dalam kegelapan, maka kita berdusta baik dengan kata-kata mahupun dengan perbuatan.
7 Tetapi jika kita hidup dalam cahaya, sebagaimana Allah ada dalam cahaya, maka kita hidup rukun dan darah Yesus, Anak-Nya, membersihkan kita daripada segala dosa.
8 Jika kita berkata bahawa kita tidak berdosa, kita menipu diri sendiri, dan Allahb tidak ada di dalam hati.
9 Tetapi jika kita mengakui dosa kita kepada Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan melakukan apa yang adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan membersihkan kita daripada segala perbuatan yang salah.
10 Tetapi jika kita berkata bahawa kita tidak berdosa, kita menjadikan Allah pendusta, dan firman-Nya tidak kita simpan di dalam hati.