Janji tentang Kedatangan Tuhan
3
1 Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Inilah suratku yang kedua kepada kamu. Di dalam kedua-dua pucuk surat ini, aku berusaha untuk membangkitkan fikiran yang murni dengan mengingatkan kamu tentang perkara-perkara ini.
2 Aku mahu kamu ingat akan kata-kata yang diucapkan oleh nabi-nabi Allah pada zaman dahulu, dan ingat akan perintah daripada Tuhan dan Penyelamat yang disampaikan oleh rasul-rasul kepada kamu.
3 Mula-mula kamu harus mengerti bahawa pada akhir zaman akan muncul beberapa orang yang kehidupan mereka dikuasai oleh hawa nafsu. Mereka akan memperolok-olokkan kamu +
4 dengan berkata, “Bukankah Tuhan berjanji akan datang? Di manakah Dia? Ibu bapa kita sudah meninggal, tetapi segala-galanya masih sama sahaja seperti sejak kejadian alam!”
5 Mereka sengaja tidak mahu mengakui bahawa dahulu Allah menciptakan langit dan bumi dengan firman-Nya. Bumi dijadikan daripada air dan dengan air. +
6 Dengan air juga, iaitu air bah, dunia zaman dahulu itu dibinasakan. +
7 Tetapi langit dan bumi sekarang ini, dipelihara oleh firman Allah itu juga, untuk dimusnahkan dengan api kelak. Langit dan bumi masih dipelihara sehingga hari orang derhaka dihukum dan dibinasakan.
8 Tetapi janganlah lupa akan satu perkara ini, hai sahabat-sahabat yang aku kasihi! Di sisi Tuhan, satu hari tidak ada bezanya dengan seribu tahun. Bagi-Nya, kedua-duanya sama sahaja. +
9 Tuhan tidak berlambat untuk melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya, meskipun beberapa orang berfikir demikian. Sebaliknya, Dia sabar terhadap kamu, kerana Dia tidak ingin sesiapa pun binasa. Dia mahu semua orang bertaubat daripada dosa.
10 Tetapi Hari kedatangan Tuhan akan tiba seperti pencuri. Pada Hari itu, langit akan lenyap dengan bunyi gemuruh, benda-benda di langit akan terbakar dan musnah, dan bumi dengan segala yang ada di dalamnya akan lenyap.f +
11 Semua itu akan dibinasakan dengan cara yang demikian. Oleh itu, bagaimanakah seharusnya kamu hidup? Kamu harus sentiasa hidup suci dan khas untuk Allah,
12 sementara kamu menantikan Hari apabila Allah mengadili dunia. Hendaklah kamu berusaha sebaik-baiknya untuk mempercepat kedatangan Hari itu. Pada Hari itu langit akan terbakar dan musnah, dan benda-benda di langit akan lebur kerana bahangnya.
13 Tetapi kita menantikan apa yang sudah dijanjikan oleh Allah, iaitu langit baru dan bumi baru. Di situ terdapat keadilan.g +
14 Oleh itu, saudara-saudara yang aku kasihi, sementara kamu menantikan Hari itu, berusahalah sebaik-baiknya supaya kamu hidup suci dan tidak bercela di sisi Allah.
15 Anggaplah kesabaran Tuhan kita sebagai peluang yang diberikan-Nya kepada kamu supaya diselamatkan. Paulus, saudara yang kita kasihi, juga menulis demikian kepada kamu dengan menggunakan kebijaksanaan yang dikurniakan oleh Allah kepadanya.
16 Dalam semua suratnya, Paulus selalu menulis tentang perkara-perkara itu. Memang ada beberapa hal dalam suratnya yang sukar difahami. Lalu orang yang tidak tahu apa-apa dan yang lemah iman, telah menyalahtafsirkan hal-hal itu. Mereka juga menyalahtafsirkan bahagian-bahagian lain daripada Alkitab. Perbuatan itu mengakibatkan kebinasaan diri mereka sendiri.
17 Tetapi kamu, saudara-saudara yang aku kasihi, telah mengetahui hal ini. Oleh itu, berwaspadalah supaya kamu tidak disesatkan oleh kesilapan orang jahat, lalu jatuh dari tempat berpijak yang kukuh.
18 Hendaklah kamu semakin menghayati kasih Yesus Kristus, Tuhan dan Penyelamat kita, dan hendaklah kamu juga semakin mengenal Dia. Marilah kita memuji dan memuliakan Kristus, sekarang dan selama-lamanya! Amin.