SURAT YOHANES
YANG KETIGA
Kata Pengantar
Surat Yohanes yang Ketiga ditulis oleh “pemimpin jemaah ” dan ditujukan kepada Gayus, salah seorang anggota jemaah yang terkemuka. Penulis surat ini memuji Gayus kerana bantuannya kepada orang Kristian lain. Dia juga memperingatkan Gayus terhadap seorang lelaki bernama Diotrefes.
Kandungan
Pendahuluan 1-4
Gayus Dipuji 5-8
Diotrefes Disalahkan 9-10
Demetrius Dipuji 11-12
Penutup 13-15
1
1 Gayus, sahabat yang aku kasihi! Aku, pemimpin jemaah yang sangat mengasihimu, +
2 berdoa semoga semuanya baik dengan kamu, dan semoga kamu sihat, seperti jiwamu pun sihat.
3 Aku sangat bersukacita ketika beberapa orang saudara Kristian tiba dan memberitahu aku betapa setianya kamu kepada Allah yang benar. Kamu memang sentiasa hidup menurut ajaran Allah.
4 Tidak ada yang lebih menggembirakan aku daripada mendengar bahawa anak-anakku hidup menurut ajaran Allah.
Gayus Dipuji
5 Sahabat yang aku kasihi! Kamu sungguh setia dalam kerja yang kamu lakukan untuk saudara-saudara Kristian, bahkan untuk orang Kristian yang belum kamu kenal.
6 Mereka memberitahu jemaah di sini tentang kasihmu. Tolonglah mereka supaya dapat meneruskan perjalanan dengan cara yang menyenangkan hati Allah.
7 Kamu harus berbuat demikian kerana dalam tugas untuk memberitakan Kristus, mereka berangkat tanpa menerima bantuan apa-apa pun daripada orang yang tidak mengenal Allah.
8 Oleh itu, kita orang Kristian, mesti menolong orang seperti itu, supaya kita dapat menjadi rakan sekerja dalam usaha mereka untuk memberitakan ajaran Allah.
Diotrefes dan Demetrius
9 Aku sudah menulis sepucuk surat yang pendek kepada jemaah, tetapi Diotrefes yang ingin menjadi pemimpin jemaah, tidak mahu menurut kata-kataku.
10 Apabila aku datang kelak, aku akan mendedahkan segala sesuatu yang telah dilakukannya, iaitu hal-hal jahat dan dusta yang dikatakannya tentang kami. Tetapi semua itu belum lagi cukup baginya. Dia tidak mahu menerima saudara-saudara Kristian semasa mereka datang. Bahkan dia menghalangi orang yang mahu menyambut saudara-saudara itu, dan dia berusaha untuk menghalau mereka keluar daripada jemaah!
11 Sahabat yang aku kasihi, janganlah tiru apa yang buruk, tetapi tirulah apa yang baik. Sesiapa berbuat baik, dia milik Allah. Sesiapa berbuat jahat, dia belum mengenal Allah.
12 Setiap orang memuji Demetrius, bahkan Allah pun memuji dia. Kami juga memuji dia, dan kamu tahu bahawa apa yang kami katakan itu benar.
Salam Penutup Surat
13 Banyak lagi yang hendak aku katakan kepadamu, tetapi lebih baik tidak melalui surat.
14 Aku berharap dapat segera berjumpa denganmu, lalu kita dapat berbincang.
15 Semoga Tuhan memberkati kamu.
Semua sahabatmu di sini mengirim salam. Sampaikan salamku kepada semua sahabat di sana seorang demi seorang.
+ 1:1 Kis 19.29; Rm 16.23; 1 Kor 1.14