2
1 Surat ini daripada Yudas, hamba Yesus Kristus dan saudara Yakobus.
Surat ini ditujukan kepada mereka yang telah dipanggil dan dikasihi oleh Allah Bapa, serta dilindungi oleh Yesus Kristus. +
2 Semoga Allah memberikan berkat, kesejahteraan, dan rahmat dengan berlimpah-limpah kepada kamu.
Guru-Guru Palsu
3 Saudara-saudara yang aku kasihi! Aku telah berusaha sebaik-baiknya untuk menulis surat kepada kamu tentang penyelamatan yang kita alami bersama. Tetapi hatiku tergerak untuk menggalakkan kamu melalui surat ini, supaya kamu terus berjuang untuk iman yang telah diberikan oleh Allah sekali sahaja kepada umat-Nya untuk selama-lamanya.
4 Beberapa orang derhaka sudah menyeludup ke kalangan kita tanpa kita sedari. Mereka memutarbalikkan berita tentang kasih Allah kita, untuk membenarkan perbuatan mereka yang cabul. Mereka juga tidak mengakui Yesus Kristus, Penguasa satu-satunya dan Tuhan kita. Sejak dahulu Alkitab telah menuliskan hukuman yang akan dialami mereka.
5 Meskipun kamu mengetahui semua perkara itu, aku hendak mengingatkan kamu bagaimana Tuhana menyelamatkan umat Israel dari negeri Mesir. Tetapi kemudian Dia membinasakan mereka yang tidak percaya. +
6 Ingatlah akan malaikat-malaikat yang melampaui batas kekuasaan yang telah diberikan oleh Allah, sehingga meninggalkan tempat kediaman mereka. Allah membelenggu malaikat-malaikat itu dengan rantai abadi, di tempat yang gelap di bawah bumi. Allah menahan mereka di situ sehingga Hari Kiamat apabila mereka akan dihukum.
7 Penduduk kota Sodom, Gomora, dan bandar-bandar di sekitarnya berbuat seperti malaikat-malaikat tersebut. Orang di situ melakukan perbuatan cabul dan lucah. Kota-kota itu dan penduduknya dimusnahkan oleh api yang kekal. Hukuman itu dijadikan amaran bagi semua orang. +
8 Demikian juga semua orang derhaka itu berkhayal, dan khayalan itu menyebabkan mereka berdosa terhadap tubuh sendiri. Mereka menghina kuasa Allah dan mencaci makhluk-makhluk mulia di syurga.
9 Ketua malaikat, Mikhael, tidak pernah berbuat demikian. Semasa dia bertengkar dengan Iblis tentang siapa yang akan mendapat jenazah Musa, Mikhael tidak berani mengutuk Iblis dengan kata-kata hinaan. Mikhael hanya berkata, “Tuhan menengking kamu!” +
10 Tetapi semua orang derhaka itu menghina perkara-perkara yang sama sekali tidak dimengerti oleh mereka. Mereka mengetahui beberapa hal, tetapi seperti binatang yang tidak berakal, mereka mengetahuinya dengan naluri dan hal itulah yang membinasakan mereka.
11 Alangkah malangnya mereka! Mereka telah mengikut jalan yang ditempuh oleh Kain. Untuk mendapat wang, mereka telah membabitkan diri dengan kesesatan, seperti yang dilakukan oleh Bileam. Mereka dibinasakan kerana memberontak seperti Korah. +
12 Kehadiran mereka mencemarkan perjumpaan makan bersama dengan saudara-saudara seiman, kerana mereka makan dengan rakus dan hanya mementingkan diri sendiri. Mereka seperti awan yang ditiup angin, tetapi tidak membawa hujan. Mereka juga seperti pokok yang tidak menghasilkan buah walaupun pada musim buah. Mereka seperti pokok yang sudah dicabut dengan akarnya dan mati sama sekali.
13 Mereka seperti ombak ganas di laut, yang membuihkan perbuatan memalukan. Mereka seperti bintang mengembara, yang tempatnya telah disediakan oleh Allah dalam kegelapan yang paling dahsyat untuk selama-lamanya.
14 Henokh, keturunan ketujuh daripada Adam, dahulu pernah bernubuat tentang mereka. Dia berkata, “Lihatlah! Tuhan akan datang dengan beribu-ribu malaikat-Nya yang suci. +
15 Dia akan mengadili semua orang. Dia akan menghukum orang derhaka kerana perbuatan derhaka mereka dan kerana semua kata hinaan yang diucapkan mereka terhadap-Nya!”
16 Semua orang itu sentiasa bersungut-sungut dan menyalahkan orang lain. Mereka menuruti nafsu jahat. Mereka memuji-muji diri sendiri dan mengangkat-angkat orang lain untuk mendapat keuntungan.
Amaran dan Nasihat
17 Tetapi saudara-saudaraku, ingatlah akan apa yang dikatakan dahulu oleh rasul-rasul Tuhan kita Yesus Kristus.
18 Mereka berkata kepada kamu, “Apabila akhir zaman tiba, orang akan tampil dan memperolok-olokkan kamu. Mereka orang yang mengikuti keinginan berdosa.” +
19 Merekalah orang yang memecah-belah jemaah. Mereka tidak dipimpin oleh Roh Allah, tetapi dikuasai oleh keinginan sendiri.
20 Tetapi kamu, saudara-saudaraku, teruslah bina hidup yang berdasarkan kepercayaan kepada Kristus. Iman kamu sangat suci. Berdoalah dengan pimpinan Roh Allah.A
21 Hendaklah kamu hidup di bawah naungan kasih Allah sementara menantikan rahmat Tuhan kita Yesus Kristus, yang akan menganugerahi kamu hidup sejati dan kekal.
22 Tunjukkanlah belas kasihan kepada orang yang kurang keyakinan.
23 Tariklah orang keluar dari dalam api dan selamatkanlah mereka. Hendaklah kamu menunjukkan belas kasihan kepada orang lain, tetapi berhati-hatilah supaya kamu tidak dicemari oleh keinginan mereka yang menyebabkan orang berdosa.
Doa Pujian
24 Allah, yang dapat menjaga kamu supaya tetap beriman, dan yang dapat membawa kamu ke hadirat-Nya yang mulia dengan sukacita dan tanpa cela,
25 Dialah satu-satunya Allah, Penyelamat kita melalui Yesus Kristus Tuhan kita. Dialah Allah yang mulia, agung, berkuasa, dan berwibawa sejak dahulu kala sehingga sekarang dan selama-lamanya! Amin.
+ 2:1 Mat 13.55; Mrk 6.3
a 2:5 Tuhan; Beberapa buah naskhah kuno: Yesus, yang dalam bahasa Yunani sama dengan Yosua.
+ 2:5 Kel 12.51; Bil 14.29-30
+ 2:7 Kej 19.1-24
+ 2:9 Dan 10.13, 21, 12.1; Why 12.7; Ul 34.6; Za 3.2
+ 2:11 Kej 4.3-8; Bil 22.1-35, 16.1-35
+ 2:14 Kej 5.18, 21-24
+ 2:18 2 Ptr 3.3
A 2:20 Roh Allah; Harfiah: Roh Kudus.