Ayub
21
Kemudian Ayub menjawab,
“Dengarlah apa yang aku katakan;
hanya itu yang aku minta sebagai penghiburan.
Bersabarlah apabila aku bercakap;
selepas itu, ejeklah aku sesuka hati kamu.
Keluhanku tidak tertuju kepada manusia;
tidak mengapalah aku berasa kurang sabar.
Pandanglah aku, maka kamu akan tercengang,
kamu akan terkejut dan terdiam.
Apabila aku memikirkan keadaanku ini,
aku gementar kerana ngeri.
Mengapa orang jahat panjang umur,
dan menjadi makmur?
Mereka mendapat anak dan cucu,
dan dapat melihat mereka menjadi dewasa.
Allah tidak mendatangkan bencana pada keluarga mereka;
mereka selamat dan aman sentosa.
10 Ternakan mereka membiak
dan beranak tanpa kesulitan.
11 Anak mereka berlari-lari dengan gembira,
dan bermain-main seperti anak domba.
12 Anak mereka menyanyi dan menari-nari,
diiringi bunyi tamburin, seruling, dan kecapi.
13 Mereka hidup dalam kemakmuran,
dan meninggal dengan kesejahteraan.
14 Orang jahat menyuruh Allah menjauhi mereka;
mereka tidak mahu mengetahui kehendak-Nya bagi hidup mereka.
15 Mereka berfikir bahawa tidak berguna mengabdi kepada Allah
dan tidak bermanfaat berdoa kepada-Nya.
16 Mereka berkata bahawa mereka berjaya kerana usaha mereka;
tetapi pendapat mereka itu tidak dapat aku terima.
17 Pernahkah hidup orang jahat dipadamkan seperti pelita?
Pernahkah mereka ditimpa bencana?
Pernahkah Allah murka terhadap mereka
sehingga Dia menghukum mereka?
18 Pernahkah mereka menjadi seperti jerami yang ditiup angin,
ataupun seperti sekam yang diterbangkan ribut?
19 Kamu berkata, ‘Allah menghukum anak kerana kesalahan bapanya.’
Tetapi aku berkata, biarlah Allah menghukum orang yang bersalah,
supaya mereka sedar bahawa mereka dihukum Allah
kerana kesalahan mereka.
20 Biarlah orang yang bersalah menanggung hukuman mereka;
biarlah mereka merasai kemurkaan Yang Maha Kuasa.
21 Setelah orang meninggal dunia,
masihkah mereka peduli akan kebahagiaan keluarga mereka?
22 Dapatkah manusia mengajar Allah?
Bukankah Allah juga yang mengadili makhluk di syurga?
23-24 Ada orang yang sihat dan masih penuh tenaga
sehingga saat kematian mereka.
Mereka meninggal dengan tenang dan bahagia,
sedang tubuh mereka masih berdaya.
25 Ada pula orang yang tidak mempunyai kebahagiaan;
mereka hidup lalu mati dengan penuh kepahitan.
26 Tetapi di dalam kubur mereka semua sama-sama terbaring;
dikerumuni oleh ulat dan cacing.
27 Aku tahu apa yang kamu fikirkan,
dan kejahatan terhadap aku yang kamu rancangkan.
28 Kamu bertanya, ‘Di manakah rumah orang kenamaan,
orang yang melakukan kejahatan?’
29 Belum pernahkah kamu berbual dengan pengembara?
Tidakkah kamu percaya akan laporan mereka?
30 Mereka berkata bahawa orang jahatlah yang selalu terlepas
pada hari Allah murka dan menjatuhkan hukuman.
31 Tiada seorang pun yang menuduh mereka,
ataupun membalas perbuatan mereka.
32 Apabila mereka dibawa ke tanah perkuburan,
batu nisan mereka dikawal,
33 ribuan orang berjalan mengiringi jenazah mereka,
dan dengan lembut tanah menimbus jenazah mereka.
34 Tetapi kamu cuba menghiburkan aku dengan cakap kosong,
dan segala jawapan kamu itu bohong!”