DIALOG KETIGA
(22.1—27.23)
Elifas
22
1 Kemudian Elifas berkata,
2 “Di kalangan manusia, tiada yang berguna bagi Allah.
Orang yang paling bijak pun tidak berguna bagi-Nya.
3 Apakah faedahnya bagi Yang Maha Kuasa,
jika engkau melakukan kehendak-Nya?
Apakah ada keuntungan bagi-Nya
jika hidupmu sempurna? +
4 Bukan kerana engkau takut dan hormat kepada Allah,
maka Dia menegur dan mengadili engkau,
5 melainkan kerana dosamu banyak,
dan engkau sangat jahat.
6 Untuk memaksa saudaramu membayar hutangnya,
engkau merampas pakaiannya dan membiarkan dia telanjang.
7 Engkau enggan memberikan air kepada mereka yang lelah,
dan enggan memberikan makanan kepada mereka yang lapar.
8 Engkau menggunakan kuasa dan kedudukanmu
untuk merampas seluruh tanah.
9 Bukan sahaja engkau tidak mahu menolong balu,
tetapi engkau juga menindas anak yatim piatu.
10 Oleh itu sekarang terdapat perangkap di sekelilingmu,
dan tiba-tiba ketakutan meliputimu.
11 Terang menjadi gelap sehingga engkau tidak dapat melihat,
dan engkau dilanda banjir yang dahsyat.
12 Tidakkah Allah tinggal di syurga yang tertinggi,
dan memandang ke bawah, pada bintang-bintang yang tinggi sekali?
13 Namun engkau bertanya, ‘Adakah Allah tahu?
Dia di balik awan dan tidak dapat mengadili kita.’
14 Engkau menyangka bahawa pandangan-Nya tertutup awan,
ketika Dia berjalan di sempadan langit dan bumi.c
15 Adakah engkau tetap mengikut jalan
yang selalu diikuti orang jahat?
16 Walaupun masa mereka belum tiba,
mereka dihanyut oleh banjir yang melanda.
17 Itulah orang yang menolak Allah,
dan menganggap Yang Maha Kuasa tidak dapat mengapa-apakan mereka.
18 Padahal Allah yang telah menjadikan mereka kaya.
Aku tidak faham akan fikiran orang durjana.
19 Orang baik dan yang tidak bersalah ketawa kegembiraan,
apabila melihat orang jahat menerima hukuman.
20 Segala hak milik orang jahat musnah,
dan api membakar segala yang tersisa.
21 Sekarang, Ayub, berdamailah dengan Allah,
dan berhentilah menganggap Dia sebagai musuh.
Jika engkau berbuat demikian,
Dia akan memberkati engkau.
22 Terimalah perintah yang diberikan-Nya;
simpanlah firman-Nya dalam hatimu.
23 Engkau mesti kembali kepada Allah dengan rendah hati,d
dan segala kejahatan di rumahmu hendaklah engkau akhiri.
24 Lemparlah emasmu yang paling murni;
lemparlah emasmu ke dasar sungai yang tidak berair lagi.
25 Hendaklah Allah Yang Maha Kuasa merupakan emasmu,
dan merupakan perak yang sangat bermutu.
26 Barulah engkau akan mempercayai Allah selalu,
dan mendapati Dia adalah sumber kegiranganmu.
27 Apabila engkau berdoa, Dia akan menjawab,
dan engkau akan menepati segala janjimu.
28 Usahamu akan berjaya selalu,
dan cahaya akan menyinari hidupmu.
29 Orang yang sombong direndahkan Allah,
tetapi yang rendah hati diselamatkan-Nya.
30 Dia akan menyelamatkan engkau jika engkau tidak bersalah,e
dan jika engkau melakukan kehendak-Nya.”
+ 22:3 Ayb 35.6-8
c 22:14 sempadan langit dan bumi: Pada masa dahulu langit dianggap sebagai bulatan besar di mana bumi dan langit bertemu, dan di situ Allah berjalan mengelilinginya untuk memeriksa bumi.
d 22:23 Sebuah terjemahan kuno: rendah hati; Naskhah Ibrani: ditingkatkan.
e 22:30 Beberapa buah terjemahan kuno: tidak bersalah; Naskhah Ibrani: bersalah.