40
1-2 Ayub, engkau menentang Allah Yang Maha Kuasa;
mahukah engkau mengalah,
atau mahukah engkau membantah?”
Ayub
3 Maka Ayub menjawab TUHAN,
4 “Aku telah bercakap seperti orang bodoh, ya TUHAN.
Jawapan apakah yang dapat aku berikan?
Tiada lagi yang hendak aku katakan.
5 Aku telah berkata lebih daripada yang sepatutnya.”
TUHAN
6 Kemudian dari ribut, TUHAN berfirman lagi kepada Ayub,
7 “Sekarang bertindaklah sebagai lelaki,
dan jawablah soalan-soalan-Ku ini.
8 Adakah engkau cuba membuktikan bahawa Aku tidak adil,
dan menyalahkan Aku dengan membenarkan dirimu?
9 Adakah engkau sekuat Aku?
Bolehkah suaramu mengguntur sekuat suara-Ku?
10 Jika demikian, bangkitlah dengan hormat dan megah;
selubungilah dirimu dengan kebesaran dan kemuliaan.
11 Perhatikanlah orang yang sombong;
curahkanlah kemarahanmu dan hinakanlah mereka.
12 Ya, pandanglah orang yang sombong dan tundukkanlah mereka;
hancurkanlah orang jahat sekarang juga.
13 Kuburkanlah mereka semua di dalam tanah;
kurunglah mereka di dunia orang mati.
14 Lalu engkau akan Kupuji,
kerana engkau telah menang dengan usahamu sendiri.
15 Perhatikanlah Behemot,z makhluk raksasa itu,
yang juga ciptaan-Ku, seperti engkau.
Behemot makan rumput seperti lembu,
16 tetapi perhatikanlah tenaga pada badannya,
dan kekuatan pada ototnya.
17 Ekornya tegak seperti pokok sedar,
dan otot di kakinya sangat kuat.
18 Tulangnya kuat seperti gangsa,
dan kakinya umpama batang besi.
19 Itulah makhluk yang paling menakjubkan antara segala ciptaan Allah.
Behemot hanya dapat dikalahkan oleh Penciptanya.
20 Di gunung tempat haiwan buas bermain,
rumput tumbuh untuk memberinya makanan.
21 Makhluk itu berbaring di bawah belukar berduri,
dan bersembunyi di antara gelagah di paya.
22 Belukar berduri dan pokok gandarusa di tepi anak sungai
memberi tempat teduh kepadanya.
23 Arus Sungai Yordan yang deras tidak ditakutinya,
air yang memukul mukanya dihadapinya dengan tenang sahaja.
24 Siapakah yang dapat membutakan matanya,
lalu menangkapnya dengan menjerat muncungnya?
z 40:15 Behemot: Ada yang berpendapat Behemot ini sama dengan badak air, pendapat yang lain menggambarkannya sebagai makhluk legenda.