Seorang Lewi dengan Gundiknya
19
1 Pada masa Israel belum mempunyai raja, ada seorang Lewi yang tinggal di pedalaman kawasan perbukitan Efraim. Dia mempunyai seorang gundik yang berasal dari Betlehem di Yehuda.
2 Tetapi kemudian gundiknya itu marah terhadapnya, lalu dia kembali ke rumah bapanya di Betlehem. Setelah perempuan itu tinggal di sana selama empat bulan,
3 orang Lewi itu pergi menyusul gundiknya dan cuba memujuk dia kembali kepadanya. Orang Lewi itu membawa seorang hamba dan dua ekor keldai bersama-samanya. Setiba di sana, gundiknya itu membawa dia kepada bapanya. Ketika bapa perempuan itu nampak orang Lewi itu, dia menyambutnya dengan mesra,
4 lalu mendesaknya supaya jangan pulang. Orang Lewi itu tinggal di situ selama tiga hari dan makan minum serta bermalam di situ dengan gundiknya.
5 Pada pagi hari keempat, mereka bangun pagi-pagi hendak berangkat. Tetapi bapa perempuan itu berkata kepada orang Lewi itu, “Makanlah dahulu sebelum kamu pergi. Kamu akan berasa lebih bertenaga. Selepas itu bolehlah kamu berangkat.”
6 Oleh itu orang Lewi itu duduk, lalu makan dan minum bersama-sama bapa perempuan itu. Kemudian bapa perempuan itu berkata, “Tinggallah semalam lagi dan bersenang-senanglah.”
7 Orang Lewi itu bangun hendak berangkat, tetapi bapa perempuan itu mendesak supaya dia tinggal. Oleh itu orang Lewi itu tinggal semalam lagi.
8 Pada hari kelima, orang Lewi itu bangun pagi-pagi lagi hendak berangkat. Tetapi bapa perempuan itu berkata, “Makanlah dahulu. Nantilah berangkat.” Oleh itu mereka berdua makan bersama-sama dan berlambat-lambat sampai matahari mulai terbenam.
9 Apabila orang Lewi itu, gundiknya, dan hambanya hendak berangkat, bapa perempuan itu berkata, “Lihatlah, hari sudah hampir malam. Lebih baik kamu bermalam di sini dan bersenang-senang. Esok kamu boleh bangun pagi-pagi dan berangkat pulang.”
10-11 Tetapi orang Lewi itu tidak mahu menginap lagi. Dia dan gundiknya berangkat, bersama-sama hambanya dan dua ekor keldainya yang berpelana. Ketika hari hampir malam, mereka sampai dekat Yebus (iaitu Yerusalem). Oleh itu hambanya berkata kepadanya, “Tuan, marilah kita berhenti dan menginap di kota orang Yebusi ini.”
12-13 Tetapi tuannya berkata, “Tidak! Kita tidak akan berhenti di kota orang bukan Israel. Kita akan meneruskan perjalanan sedikit lagi dan menginap di Gibea atau Rama.”
14 Oleh itu mereka melalui Yebus dan meneruskan perjalanan. Matahari telah terbenam ketika mereka tiba di Gibea, di wilayah suku Benyamin.
15 Mereka singgah di kota itu kerana hendak menginap di sana. Mereka duduk di lapangan kota, tetapi tiada sesiapa pun yang menjemput mereka bermalam di rumah.
16 Sementara mereka duduk di lapangan kota, datanglah seorang tua yang baru pulang dari pekerjaannya di ladang. Orang tua itu berasal dari perbukitan Efraim tetapi sekarang dia tinggal di Gibea. (Kebanyakan penduduk di situ orang suku Benyamin.)
17 Apabila orang tua itu nampak orang Lewi itu di lapangan kota, dia bertanya kepadanya, “Kamu dari mana dan kamu hendak ke mana?”
18 Orang Lewi itu menjawab, “Kami baru datang dari Betlehem di Yehuda dan sedang dalam perjalanan pulang ke rumahq di pedalaman perbukitan Efraim. Saya berasal dari sana. Tiada sesiapa pun yang hendak memberi kami penginapan di kota ini.
19 Kami mempunyai cukup bekalan. Kami ada jerami dan makanan untuk keldai kami, dan juga roti serta wain untuk gundik dan hamba saya.”
20 Orang tua itu berkata, “Silalah datang ke rumah saya! Saya akan memenuhi segala keperluan saudara-saudara. Janganlah bermalam di lapangan kota.”
21 Kemudian dia membawa mereka ke rumahnya dan memberi keldai-keldai mereka makanan. Setelah tetamunya mencuci kaki, mereka makan dan minum.
22 Sedang mereka bersuka-suka, tiba-tiba beberapa orang yang sumbang laku dari kota itu mengepung rumah itu, lalu mula memukul-mukul pintu. Mereka berkata kepada orang tua itu, “Serahkanlah lelaki yang di rumahmu itu. Kami hendak memburit dengan dia!”
23 Orang tua itu keluar dan berkata kepada mereka, “Tolonglah, saudara-saudara. Janganlah lakukan perbuatan jahat itu! Orang ini tetamu saya.
24 Nanti saya akan memberikan gundiknya dan anak dara saya sendiri. Ambillah mereka. Puaskanlah diri kamu dengan mereka. Tetapi janganlah lakukan perbuatan jahat itu terhadap tetamu saya!” +
25 Tetapi kerana mereka tetap mendesak, orang Lewi itu menolak gundiknya keluar untuk mereka. Kemudian mereka memperkosa perempuan itu dengan tidak henti-henti sehingga pagi.
26 Pada waktu subuh perempuan itu kembali, tetapi di depan pintu rumah orang tua itu, tempat suaminya menginap, dia jatuh. Dia masih di situ apabila matahari terbit.
27 Pagi itu, ketika suaminya bangun dan membuka pintu untuk berangkat, dia mendapati gundiknya tergeletak di depan pintu dengan tangannya berpegang pada pintu.
28 “Bangunlah, mari kita berangkat,” katanya. Tetapi perempuan itu tidak menyahut. Kemudian dia mengangkat mayat perempuan itu dan meletakkannya di atas keldai lalu pulang ke rumahnya.
29 Setibanya di rumah, dia masuk dan mengambil pisau, lalu memotong-motong mayat gundiknya, menjadi dua belas potongan. Kemudian dia mengirim potongan-potongan mayat itu kepada dua belas suku Israel, masing-masing satu potong. +
30 Tiap-tiap orang yang nampak potongan mayat itu berkata, “Belum pernah kami mendengar perkara seperti ini! Perkara ini belum pernah terjadi sejak orang Israel meninggalkan Mesir! Kita mesti berunding untuk bertindak!”