Umat Israel Bersedia untuk Berperang
20
1 Segenap umat Israel dari Dan di sebelah utara, sampai ke Bersyeba di sebelah selatan, dan juga dari Gilead di sebelah timur, menyahut panggilan itu. Mereka berkumpul sebagai satu umat di hadapan TUHAN di Mizpa.
2 Semuanya 400,000 orang askar bersenjata yang menjadi pasukan berjalan kaki. Para pemimpin daripada setiap suku Israel turut hadir di perhimpunan umat Allah itu.
3 Sementara itu orang suku Benyamin mendengar bahawa segenap umat Israel yang lain telah berkumpul di Mizpa.
Umat Israel berkata, “Ceritakanlah bagaimana jenayah itu terjadi.”
4 Orang Lewi yang gundiknya terbunuh itu menjawab, “Saya dengan gundik saya singgah dan bermalam di Gibea, di wilayah Benyamin.
5 Tiba-tiba penduduk Gibea datang mencari saya pada waktu malam. Mereka mengepung rumah itu kerana hendak membunuh saya. Tetapi kemudian mereka memperkosa gundik saya sehingga dia meninggal.
6 Saya mengambil mayatnya dan memotong-motongnya, lalu mengirimnya kepada dua belas suku Israel, masing-masing satu potong. Saya melakukan hal itu kerana orang Gibea telah melakukan perbuatan jahat dan memalukan di tengah-tengah umat Israel.
7 Semua yang hadir di sini orang Israel. Sekarang, katakanlah apa yang harus kita lakukan.”
8 Semua orang yang berkumpul di situ berdiri, lalu dengan serentak mereka berkata, “Tidak seorang pun daripada kita akan pulang ke khemah atau ke rumah.
9 Inilah yang akan kita lakukan: Kita akan mengundi untuk menentukan orang yang harus menyerang Gibea.r
10 Sepuluh peratus daripada jumlah lelaki Israel harus menyediakan makanan untuk askar-askar yang pergi bertempur. Sedangkan yang lainnya harus menghukum Gibeas kerana kejahatan yang telah dilakukan mereka antara umat Israel.”
11 Demikianlah umat Israel bersatu untuk menyerang kota itu.
12 Umat Israel mengutus beberapa orang ke seluruh wilayah Benyamin untuk menyampaikan berita ini, “Kejahatan apakah yang berlaku antara kamu?
13 Serahkanlah semua orang yang sumbang laku dari Gibea itu supaya kami membunuh mereka dan membasmi kejahatan itu dari Israel.” Tetapi orang Benyamin tidak mempedulikan kata-kata umat Israel yang lain itu.
14 Malah orang Benyamin datang ke Gibea dari semua kota Benyamin untuk memerangi umat Israel yang lain.
15-16 Pada hari itu orang Benyamin mengumpulkan sebanyak 26,000 orang askar dari kota-kota mereka. Penduduk Gibea pula memilih 700 orang lelakit yang kidal. Tiap-tiap orang itu cekap menghumban batu dengan menggunakan penghumban. Jika mereka menghumban, tidak pernah meleset sedikit pun walau sehelai rambut.
17 Pada pihak orang Israel lain, sebanyak 400,000 orang askar yang terlatih sudah berkumpul.
Berperang Menentang Suku Benyamin
18 Umat Israel pergi ke tempat ibadat di Betel dan bertanya kepada Allah, “Suku manakah yang patut mula-mula menyerang orang Benyamin?”
TUHAN menjawab, “Suku Yehuda.”
19 Umat Israel berangkat esok paginya dan berkhemah dekat kota Gibea.
20 Mereka pergi menyerang tentera Benyamin, dan menempatkan angkatan perang berhadapan dengan kota itu.
21 Tentera Benyamin keluar dari kota Gibea, lalu menyerang dan membunuh 22,000 orang askar Israel pada hari itu.
22-23 Oleh sebab kekalahan itu, umat Israel pergi lagi ke tempat ibadat dan menangis di hadapan TUHAN sehingga malam. Mereka bertanya lagi kepada Allah, “Haruskah kami berperang lagi dengan orang Benyamin, saudara kami itu?”
TUHAN berfirman, “Ya.”
Oleh itu semangat orang Israel bangkit semula dan mereka mengatur barisan mereka seperti pada hari pertama.
24 Mereka pergi menyerang tentera Benyamin untuk kali kedua.
25 Untuk kali kedua pula orang Benyamin keluar dari Gibea lalu menyerang orang Israel. Kali ini mereka membunuh 18,000 orang askar Israel yang terlatih.
26 Sekali lagi umat Israel pergi ke Betel dan menangis di hadapan TUHAN. Mereka berpuasa di sana sehingga malam. Mereka mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHANuv
27-28 Pada masa itu Tabut Perjanjian Allah terletak di Betel, dan Pinehas anak Eleazar, cucu Harun bertugas sebagai imam. Kemudian umat Israel bertanya kepada TUHAN, “Haruskah kami berperang lagi dengan suku Benyamin, saudara kami itu? Atau haruskah kami menghentikan pertempuran ini?”
TUHAN menjawab, “Berperanglah! Esok Aku akan memberi kamu kemenangan atas mereka.”
29 Setelah mendengar jawapan itu, umat Israel menempatkan askar-askar mereka di sekitar Gibea untuk menyerang hendap.
30 Pada hari yang ketiga mereka menyerang tentera Benyamin, sambil mengatur barisan menghadap Gibea seperti yang dilakukan pada hari-hari sebelumnya.
31 Orang Benyamin keluar untuk berperang dan mereka diumpan supaya menjauhi kota. Seperti yang sudah-sudah, mereka mula membunuh askar-askar Israel di kawasan terbuka di luar kota pada jalan yang menuju ke Betel dan Gibea. Mereka membunuh kira-kira tiga puluh orang Israel.
32 Oleh itu orang Benyamin berkata, “Kami telah mengalahkan umat Israel seperti yang sudah-sudah.”
Padahal umat Israel sengaja mengundurkan diri untuk mengumpan askar-askar Benyamin ke jalan-jalan di luar kota.
33 Apabila tentera umat Israel telah undur dan berkumpul semula di Baal-Tamar, askar-askar mereka yang ditempatkan di sekitar Gibea itu tiba-tiba keluar dari tempat persembunyian di kawasan berbatu di sekeliling kota.w
34 Mereka itu askar yang terpilih dari seluruh Israel; jumlahnya 10,000 orang. Kemudian terjadilah satu pertempuran yang sengit ketika 10,000 orang itu menyerang Gibea. Orang Benyamin sama sekali tidak menyangka bahawa mereka tidak lama lagi akan kalah.
35 TUHAN memberi umat Israel kemenangan atas tentera Benyamin. Pada hari itu umat Israel membunuh 25,100 orang askar Benyamin.
36 Barulah orang Benyamin sedar bahawa mereka telah kalah.
Cara Orang Israel Menang
Sebahagian besar daripada tentera Israel dengan sengaja telah mengundurkan diri daripada tentera Benyamin. Mereka berharap kepada askar-askar di tempat-tempat persembunyian di sekitar Gibea.
37 Askar-askar yang bersembunyi itu cepat-cepat masuk menyerang kota Gibea dan membunuh semua orang yang di dalam kota itu.
38 Induk tentera telah bermuafakat dengan pasukan yang bersembunyi, bahawa apabila mereka nampak asap yang tebal naik dari kota itu,
39 induk tentera harus berbalik dan menyerang musuh. Pada saat itu tentera Benyamin telah membunuh 30 orang askar Israel. Mereka berfikir, “Kami telah mengalahkan mereka seperti yang sudah-sudah.”
40 Tetapi tiba-tiba asap yang tebal mengepul naik dari tengah-tengah kota itu. Orang Benyamin terperanjat apabila mereka menoleh ke belakang dan nampak seluruh kota mereka terbakar.
41 Ketika itu juga tentera Israel balik menyerang mereka, lalu keadaan tentera Benyamin menjadi kacau-bilau. Mereka sedar bahawa mereka akan kalah.
42 Mereka mengundurkan diri daripada tentera Israel lalu lari ke arah padang gurun tetapi mereka tidak dapat menyelamatkan diri. Mereka dikepung oleh induk tentera Israel dan pasukan askar yang pada saat itu sedang keluar dari kota.x Orang Benyamin menderita kekalahan yang amat teruk.
43 Tentera Israel mengepung dan mengejar tentera Benyamin terus-menerus sampai ke suatu tempat di sebelah timur Gibea. Sambil mengejar, mereka membunuh
44 18,000 orang askar Benyamin yang gagah perkasa.
45 Tentera Benyamin yang lain balik lalu lari ke arah padang gurun, ke gunung-gunung batu di Rimon. Sebanyak 5,000 orang daripada mereka dibunuh di tengah jalan. Tentera Israel masih mengejar askar-askar Benyamin sampai ke Gidom dan 2,000 orang daripada mereka terbunuh.
46 Sejumlah 25,000 orang askar Benyamin dibunuh pada hari itu, semuanya gagah berani.
47 Tetapi 600 orang dapat melarikan diri ke padang gurun, ke gunung-gunung batu di Rimon. Mereka tinggal di sana selama empat bulan.
48 Kemudian tentera Israel kembali lagi dan membunuh semua orang Benyamin yang lain - lelaki, perempuan, kanak-kanak, dan binatang-binatang. Mereka membakar semua kota di daerah itu.
r 20:9 Sebuah naskhah terjemahan kuno: menyerang Gibea; Naskhah Ibrani: ke Gibea.
s 20:10 Sebuah naskhah terjemahan kuno: Gibea; Naskhah Ibrani: Geba.
t 20:15-16 Beberapa buah naskhah terjemahan kuno: orang lelaki; Naskhah Ibrani: orang lelaki. Daripada jumlah ini 700 orang telah dipilih.
u 20:26 korban untuk memohon berkat TUHAN; Harfiah: korban perdamaian.* dan korban untuk menyenangkan hati TUHAN.
v 20:26 korban untuk menyenangkan hati TUHAN; Harfiah: korban bakar.*
w 20:33 Sebuah naskhah terjemahan kuno: kota ( iaitu Gibea); Naskhah Ibrani: Geba.
x 20:42 kota; Naskhah Ibrani: kota-kota.