Raja Ahas, Raja Yehuda
(2 Taw 28.1-27)
16
1 Pada tahun ketujuh belas pemerintahan Raja Pekah anak Remalya di Israel, Raja Ahas putera Raja Yotam menjadi raja di Yehuda.
2 Pada masa itu Raja Ahas berusia dua puluh tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama enam belas tahun. Baginda tidak mengikut teladan baik nenek moyangnya, Raja Daud. Sebaliknya baginda melakukan apa yang tidak menyenangkan hati TUHAN, Allahnya.
3 Baginda mengikut perbuatan raja-raja Israel, bahkan baginda mempersembahkan puteranya sendiri sebagai korban kepada dewa-dewa. Baginda mengikut kebiasaan penduduk negeri yang telah diusir oleh TUHAN ketika orang Israel memasuki negeri itu. +
4 Di tempat penyembahan berhala di bukit-bukit dan di bawah tiap-tiap pokok yang rendang, Raja Ahas mempersembahkan korban dan membakar kemenyan.
5 Raja Rezin dari Siria dan Raja Pekah dari Israel, menyerang Yerusalem. Baginda berdua mengepung kota itu tetapi tidak dapat mengalahkan Raja Ahas. + (
6 Pada masa itu raja Edomw berjaya menguasai kota Elat semula. Raja itu mengusir orang Yehuda yang tinggal di situ. Oleh itu, orang Edom menduduki kota itu dan menetap di situ sampai sekarang.)
7 Raja Ahas mengutus beberapa orang utusan kepada Raja Pul, dari Asyur, dengan berita berikut, “Hamba setia mengabdi kepada tuanku. Oleh itu datanglah untuk menyelamatkan hamba daripada raja-raja negeri Siria dan Israel yang sedang menyerang hamba sekarang.”
8 Raja Ahas mengambil perak dan emas dari Rumah TUHAN dan perbendaharaan istana, lalu memberikan semuanya kepada raja Pul sebagai hadiah.
9 Raja Pul mengabulkan permintaan Raja Ahas. Raja Pul dengan tenteranya menyerang Damsyik, merebut kota itu lalu membunuh Raja Rezin. Raja Pul juga membawa penduduk kota Damsyik ke Kir sebagai orang tawanan.
10 Apabila Raja Ahas pergi ke Damsyik untuk menemui Raja Pul, baginda nampak mazbah di situ lalu mengirim contoh mazbah itu dengan butir-butir yang tepat kepada Imam Uria.
11 Uria membina sebuah mazbah seperti itu, dan menyelesaikannya sebelum Raja Ahas kembali.
12 Apabila Raja Ahas kembali dari Damsyik, baginda nampak bahawa mazbah itu sudah siap.
13 Raja Ahas mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN,A dan korban untuk mengucap syukurB kepada-Nya, di atas mazbah itu. Baginda juga mempersembahkan wain dan darah daripada korban untuk memohon berkat daripada TUHAN.C
14 Mazbah gangsa yang ditahbiskan untuk TUHAN terletak di antara mazbah yang baru itu dan Rumah TUHAN. Oleh itu Raja Ahas memindahkan mazbah gangsa itu ke sebelah utara mazbah yang baru. +
15 Selepas itu Raja Ahas memerintah Uria, “Gunakanlah mazbah beta yang besar ini untuk korban yang dibakar pada waktu pagi dan persembahan biji-bijian pada waktu petang, untuk korban yang dibakar dan persembahan biji-bijian yang dipersembahkan oleh raja dan rakyat, dan juga untuk persembahan wain daripada rakyat. Tuanglah darah semua binatang yang dipersembahkan sebagai korban ke atas mazbah itu. Mazbah gangsa yang lama itu biarlah beta gunakan untuk minta petunjuk.”
16 Uria melaksanakan perintah Raja Ahas.
17 Raja Ahas membongkar pedati-pedati gangsa yang digunakan di Rumah TUHAN, dan melepaskan besen-besen yang terletak di atas pedati-pedati itu. Baginda juga mengambil tangki gangsa dari atas lembu-lembu gangsa, lalu meletakkannya di atas alas batu. +
18 Untuk mengambil hati raja Asyur, Raja Ahas juga membongkar pentas untuk takhta di Rumah TUHAN, lalu menutup pintu masuk Rumah TUHAN yang khas untuk raja.
19 Segala perbuatan Raja Ahas tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda.
20 Raja Ahas mangkat dan dimakamkan di permakaman diraja di Kota Daud. Hizkia, puteranya menggantikan baginda sebagai raja. +
+ 16:3 Ul 12.31
+ 16:5 Yes 7.1
w 16:6 Erti dalam naskhah mungkin raja Edom. Naskhah Ibrani: Rezin, raja Siria.
A 16:13 korban untuk menyenangkan hati TUHAN; Harfiah: Korban bakar. Lihat kamus.
B 16:13 korban untuk mengucap syukur; Harfiah: Korban bijirin. Lihat kamus.
C 16:13 korban untuk memohon berkat daripada TUHAN; Harfiah: Korban perdamaian. Lihat kamus.
+ 16:14 Kel 27.1-2; 2 Taw 4.1
+ 16:17 1 Raj 7.23-39; 2 Taw 4.2-6
+ 16:20 Yes 14.28