Raja Hosea, Raja Israel
17
1 Pada tahun kedua belas pemerintahan Raja Ahas di Yehuda, Hosea anak Ela menjadi raja di Israel. Raja Hosea memerintah di Samaria selama sembilan tahun.
2 Raja Hosea berdosa terhadap TUHAN, tetapi dosanya tidak sebesar dosa raja-raja yang memerintah Israel sebelumnya.
3 Pada masa itu Raja Salmaneser dari Asyur berperang dengan Raja Hosea. Raja Hosea menyerah kepada Raja Salmaneser dan membayar ufti kepadanya tiap-tiap tahun.
4 Tetapi pada suatu masa, Raja Hosea mengirim beberapa orang utusan kepada Raja So, raja Mesirx untuk meminta pertolongan baginda. Setelah itu Raja Hosea berhenti membayar ufti tahunan kepada raja Asyur. Apabila Raja Salmaneser mengetahui hal itu, baginda menangkap Raja Hosea lalu memasukkan baginda ke dalam penjara.
Kejatuhan Samaria
5 Raja Salmaneser menyerang Israel dan mengepung Samaria. Tiga tahun kemudian,
6 iaitu pada tahun kesembilan pemerintahan Raja Hosea, raja Asyury mengalahkan Samaria. Baginda membawa orang Israel ke Asyur sebagai orang tawanan. Baginda menempatkan sebilangan daripada orang Israel di kota Halah, sebilangan di tepi Sungai Habor di daerah Gozan, dan sebilangan lagi di kota-kota negeri Madai.
7 Kota Samaria jatuh kerana umat Israel berdosa terhadap TUHAN, Allah mereka, yang telah menyelamatkan mereka daripada raja Mesir dan membawa mereka keluar dari negeri Mesir. Mereka menyembah tuhan-tuhan lain,
8 serta mengikut kebiasaan bangsa yang telah diusir oleh TUHAN ketika umat Israel menduduki negeri itu. Umat Israel mengikut adat istiadat yang ditetapkan oleh raja-raja Israel.
9 Mereka melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh TUHAN, Allah mereka. Mereka membina tempat-tempat penyembahan berhala di semua kota mereka, dari kampung yang terkecil sampai ke kota yang terbesar.
10 Di semua bukit dan di bawah tiap-tiap pokok yang rendang, mereka mendirikan tiang-tiang batu dan patung-patung Dewi Asyera. +
11 Mereka membakar kemenyan di atas semua mazbah untuk dewa, mengikut kebiasaan bangsa yang telah diusir oleh TUHAN dari negeri itu. Mereka membangkitkan kemurkaan TUHAN kerana segala perbuatan mereka yang jahat itu,
12 dan tidak taat kepada TUHAN yang melarang mereka menyembah berhala.
13 TUHAN telah mengutus beberapa orang utusan dan nabi-Nya untuk memberikan amaran kepada Israel dan Yehuda. Firman TUHAN, “Berhentilah berbuat jahat dan taatlah kepada perintah-Ku yang terkandung dalam Taurat yang Aku berikan kepada nenek moyang kamu dan juga kamu melalui para nabi, hamba-hamba-Ku.”
14 Tetapi mereka tidak mahu taat; mereka degil seperti nenek moyang mereka yang tidak percaya kepada TUHAN, Allah mereka.
15 Mereka tidak mahu taat kepada perintah-Nya. Mereka tidak mengendahkan perjanjian yang dibuat TUHAN dengan nenek moyang mereka. Mereka tidak menghiraukan amaran-amaran TUHAN. Mereka menyembah berhala-berhala yang tidak berguna, sehingga mereka sendiri menjadi tidak berguna. Mereka mengikut kebiasaan bangsa-bangsa di sekeliling mereka, walaupun TUHAN telah melarang perbuatan itu.
16 Mereka melanggar semua hukum TUHAN, Allah mereka, serta membuat dua patung lembu daripada logam untuk disembah. Mereka juga membuat patung Dewi Asyera, menyembah bintang-bintang, dan Baal. +
17 Mereka mempersembahkan anak-anak mereka sebagai korban yang dibakar kepada dewa-dewa. Mereka minta petunjuk daripada dukun dan tukang tilik. Mereka sangat giat melakukan apa yang jahat di sisi TUHAN, lalu membangkitkan kemurkaan-Nya. +
18 TUHAN murka terhadap umat Israel sehingga mereka dibuang dari tanah yang diberikan-Nya kepada mereka; hanya kerajaan Yehuda yang tinggal.
19 Namun orang Yehuda pun tidak taat kepada hukum TUHAN, Allah mereka. Mereka mengikut kebiasaan yang telah diikuti orang Israel.
20 TUHAN menolak segenap umat Israel. Dia menghukum dan menyerahkan mereka kepada musuh yang kejam, sehingga akhirnya Dia membuang mereka dari tanah yang diberikan-Nya kepada mereka.
21 Setelah TUHAN memisahkan Israel dari Yehuda, umat Israel melantik Yerobeam anak Nebat menjadi raja mereka. Raja Yerobeam menyebabkan mereka meninggalkan TUHAN dan melakukan dosa-dosa yang besar.
22 Mereka mengikut perbuatan Raja Yerobeam dan tidak berhenti melakukan semua dosa yang dilakukan oleh Raja Yerobeam.
23 Akhirnya TUHAN membuang mereka dari tanah yang diberikan-Nya kepada mereka. Hal itu berlaku sesuai dengan amaran yang diberikan TUHAN kepada hamba-hamba-Nya. Oleh itu orang Israel dibuang ke Asyur, tempat mereka tinggal sehingga sekarang.
Orang Asyur Menetap di Israel
24 Raja Asyur membawa orang dari kota Babel, Kuta, Awa, Hamat, dan Sefarwaim ke kota-kota di Samariaz untuk menggantikan orang Israel yang telah dibuang negeri. Mereka menduduki kota-kota itu lalu tinggal di situ.
25 Apabila mereka mula-mula tiba di negeri itu, mereka tidak menyembah TUHAN. Oleh itu TUHAN mengirim singa untuk membunuh sebilangan daripada mereka.
26 Kemudian raja Asyur diberitahu bahawa orang yang disuruhnya tinggal di kota-kota Samaria itu tidak mengenal hukum dewa negeri itu, lalu dewa itu mengirim singa yang membunuh mereka.
27 Oleh itu Raja Asyur bertitah, “Kirimlah kembali seorang daripada imam yang kita tawan itu. Suruhlah diaa pulang dan tinggal di sana untuk mengajar orang di tempat itu tentang hukum dewa negeri itu.”
28 Oleh itu seorang imam Israel yang telah dibuang dari Samaria ke Asyur, kembali dan tinggal di Betel. Dia mengajar orang di tempat itu cara beribadat kepada TUHAN.
29 Tetapi penduduk Samaria masih membuat berhala mereka sendiri, dan mereka menempatkan berhala-berhala itu di kuil-kuil yang telah dibina orang Israel. Tiap-tiap golongan orang membuat berhala masing-masing:
30 orang Babel membuat patung Dewa Sukot-Benot, orang Kuta membuat patung Nergal, orang Hamat membuat patung Asima,
31 orang Awa membuat patung Nibhas dan Tartak, dan orang Sefarwaim mempersembahkan anak-anak mereka sebagai korban yang dibakar kepada Adramelekh dan Anamelekh, dewa-dewa mereka.
32 Mereka juga menyembah TUHAN, dan mereka memilih pelbagai orang daripada golongan mereka sendiri untuk bertugas sebagai imam di tempat-tempat pemujaan berhala, serta mempersembahkan korban bagi berhala itu di sana.
33 Mereka menyembah TUHAN, tetapi mereka juga menyembah dewa-dewa mereka sendiri menurut adat istiadat negeri asal mereka.
34 Sampai sekarang mereka masih mengamalkan adat istiadat mereka yang lama itu. Mereka tidak menyembah TUHAN ataupun taat kepada hukum dan perintah yang diberikan-Nya kepada keturunan Yakub, yang dinamakan-Nya Israel. +
35 TUHAN telah membuat perjanjian dengan umat Israel, dan telah memerintah, “Jangan sembah tuhan-tuhan lain; jangan bersujud, atau mengabdi, atau mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan itu. +
36 Hendaklah kamu taat kepada-Ku, TUHAN yang telah membawa kamu keluar dari Mesir dengan kuasa dan kekuatan yang besar; hendaklah kamu bersujud dan mempersembahkan korban kepada-Ku. +
37 Hendaklah kamu sentiasa taat kepada hukum dan perintah yang telah Aku tuliskan untuk kamu. Jangan sembah tuhan-tuhan lain,
38 dan jangan lupa akan perjanjian yang telah Aku buat dengan kamu itu. Jangan sembah tuhan-tuhan lain,
39 tetapi hendaklah kamu menyembah Aku TUHAN, Allah kamu, maka Aku akan menyelamatkan kamu daripada musuh.”
40 Tetapi penduduk Samaria itu tidak mahu mendengar; mereka masih mengikut adat istiadat mereka yang lama.
41 Mereka menyembah TUHAN, tetapi mereka juga menyembah berhala-berhala mereka; sampai sekarang keturunan mereka masih berbuat demikian.
x 17:4 So, raja Mesir; atau raja Mesir di Sais.
y 17:6 raja Asyur: Mungkin Sargon II, pengganti Salmaneser.
+ 17:10 1 Raj 14.23
+ 17:16 1 Raj 12.28
+ 17:17 Ul 18.10
z 17:24 Samaria: Nama ibu kota itu digunakan juga untuk merujuk kepada kawasan yang dahulu di bawah kerajaan Israel.
a 17:27 Beberapa terjemahan kuno: dia. Naskhah Ibrani: mereka.
+ 17:34 Kej 32.28, 35.10
+ 17:35 Kel 20.5; Ul 5.9
+ 17:36 Ul 6.13