Hukuman bagi Orang yang Tidak Taat
20
1 TUHAN menyuruh Musa
2 memberitahu umat Israel, “Sesiapa sahaja antara kamu, atau orang asing di kalangan kamu, yang mempersembahkan anaknya sebagai korban kepada Dewa Molokh, harus direjam sampai mati oleh segenap masyarakat.
3 Sesiapa yang mempersembahkan salah seorang anaknya kepada Dewa Molokh, menajiskan Khemah-Ku dan menghina nama-Ku yang suci. Aku akan menghukum dia dan tidak lagi menganggap dia sebagai anggota umat-Ku.
4 Tetapi jika masyarakat menutup mata terhadap perbuatan orang itu, dan tidak menjatuhkan hukuman mati ke atas orang itu,
5 maka Aku sendiri akan menghukum dia dan semua anggota keluarganya, dan juga semua orang yang bersama-sama dia meninggalkan Aku dan menyembah Dewa Molokh. Aku tidak lagi menganggap mereka sebagai umat-Ku.
6 Sesiapa yang minta nasihat daripada orang yang berhubung dengan roh-roh orang mati, akan Kuhukum dan tidak lagi Aku anggap sebagai anggota umat-Ku.
7 Jagalah supaya kamu tetap suci, kerana Akulah TUHAN, Allah kamu.
8 Patuhilah hukum-Ku, kerana Akulah TUHAN yang mengekhaskan kamu untuk Aku.”
9 TUHAN memberikan peraturan berikut, “Sesiapa mengutuk bapanya atau ibunya mesti dihukum mati. Orang itu mati kerana kesalahannya sendiri. +
10 Jika seorang Israel berzina dengan isteri orang sebangsanya, orang itu dan perempuan itu mesti dihukum mati. +
11 Seorang yang bersetubuh dengan salah seorang isteri bapanya, menghina bapanya; dia dan perempuan itu mesti dihukum mati. Mereka mati kerana kesalahan mereka sendiri. +
12 Jika seorang lelaki bersetubuh dengan menantu perempuannya, mereka berdua mesti dihukum mati. Mereka sudah melakukan perbuatan keji, dan mereka mati kerana kesalahan mereka sendiri. +
13 Jika seorang lelaki bersemburit dengan seorang lelaki lain, mereka melakukan perbuatan yang hina dan menjijikkan. Mereka berdua mesti dihukum mati; mereka mati kerana kesalahan mereka sendiri. +
14 Jika seorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan dan dengan ibu perempuan itu juga, ketiga-tiga mereka mesti dibakar sampai mati, kerana perbuatan mereka itu keji. Perbuatan seperti itu tidak dibenarkan berlaku di kalangan kamu. +
15 Jika seorang lelaki melakukan perhubungan jenis dengan seekor binatang, dia dan binatang itu mesti dihukum mati.
16 Jika seorang perempuan cuba melakukan perhubungan jenis dengan seekor binatang, perempuan itu dan binatang itu mesti dihukum mati. Kedua-duanya mati kerana kesalahan sendiri. +
17 Jika seorang lelaki berkahwin dengan saudara perempuannya, sama ada perempuan itu saudara seibu sebapa mahupun saudara tiri yang sebapa lain ibu atau seibu lain bapa, kedua-dua orang itu harus dipermalukan di hadapan umum dan tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Israel. Lelaki itu sudah bersetubuh dengan saudara perempuannya dan mesti menanggung akibatnya. +
18 Jika seorang lelaki bersetubuh dengan seorang perempuan yang sedang haid, kedua-duanya tidak lagi dianggap sebagai anggota umat-Ku. +
19 Jika seorang lelaki bersetubuh dengan mak ciknya, mereka berdua mesti menanggung akibatnya; perbuatan itu keji.
20 Jika seorang lelaki bersetubuh dengan isteri pak ciknya, dia menghina pak ciknya. Lelaki dan perempuan itu mesti menanggung hukuman mereka sendiri; mereka berdua tidak akan mendapat anak. +
21 Jika seorang lelaki merampas isteri abangnya, mereka berdua akan mati tanpa mendapat anak. Lelaki itu sudah melakukan perbuatan yang keji, dan dia menghina abangnya.” +
22 TUHAN berfirman, “Patuhilah segala hukum dan perintah-Ku, supaya kamu tidak diusir dari negeri Kanaan, tempat Aku membawa kamu sekarang ini.
23 Jangan ikut kebiasaan bangsa yang tinggal di situ. Aku mengusir mereka supaya kamu boleh masuk ke negeri itu. Mereka menjijikkan Aku dengan perbuatan mereka yang keji.
24 Tetapi Aku sudah berjanji akan memberikan negeri yang kaya dan subur itu kepada kamu. Negeri itu akan menjadi milik kamu. Akulah TUHAN, Allah kamu yang sudah memisahkan kamu daripada bangsa-bangsa lain.
25 Oleh itu, kamu mesti tahu membezakan binatang dan burung yang halal dengan binatang dan burung yang haram. Jangan makan binatang atau burung yang haram. Aku sudah menyatakan semua itu najis. Jika kamu memakannya, kamu juga menjadi najis.
26 Kamu harus suci dan menjadi milik-Ku semata-mata, kerana Akulah TUHAN dan Aku suci. Aku sudah memisahkan kamu daripada bangsa-bangsa lain, supaya kamu menjadi milik-Ku semata-mata.
27 Setiap lelaki atau perempuan yang berhubung dengan roh-roh orang mati mesti direjam sampai mati. Orang yang melakukan perbuatan ini mati kerana kesalahan sendiri.”