Kesucian Para Imam
21
1 TUHAN memerintah Musa menyampaikan perintah ini kepada imam-imam keturunan Harun, “Seorang imam tidak boleh menajiskan diri dengan mengikuti upacara penguburan seorang sanak saudaranya,
2 kecuali orang yang meninggal itu ibunya, bapanya, anak lelakinya, anak perempuannya, saudara lelakinya,
3 atau saudara perempuannya yang belum berkahwin dan tinggal serumah dengan dia.
4 Dia tidak boleh menajiskan diri dengan mengikuti upacara penguburan saudara mara isterinya.
5 Seorang imam tidak boleh membotakkan bahagian mana pun kepalanya, atau menggunting janggutnya, atau melukai tubuhnya untuk menunjukkan bahawa dia berkabung. +
6 Seorang imam harus suci dan tidak boleh menghina nama-Ku. Dia mempersembahkan persembahan makanan kepada-Ku, kerana itu dia harus suci.
7 Seorang imam tidak boleh berkahwin dengan pelacur perempuan, atau perempuan yang bukan dara lagi, atau perempuan yang sudah bercerai, kerana imam dikhaskan untuk Aku.
8 Umat Israel harus mengakui imam sebagai orang yang dikhaskan bagi-Ku kerana imam mempersembahkan persembahan makanan kepada-Ku. Akulah TUHAN; Aku ini suci dan Aku menyucikan umat-Ku.
9 Jika anak perempuan seorang imam menjadi pelacur, dia menghina bapanya; perempuan itu mesti dibakar sampai mati.
10 Imam Agung sudah ditahbiskan dengan menuangkan minyak upacara ke atas kepalanya, dan dengan mengenakan pakaian imam agung padanya. Oleh itu dia tidak boleh membiarkan rambutnya kusut, atau mengoyakkan pakaiannya untuk menunjukkan bahawa dia berkabung.
11-12 Dia sudah dikhaskan untuk Aku, oleh itu dia tidak boleh menajiskan diri. Dia tidak boleh meninggalkan Khemah-Ku lalu masuk ke rumah yang ada jenazah, walaupun jenazah itu jenazah bapa atau ibunya sendiri. Perbuatannya itu menajiskan Khemah-Ku.
13 Imam Agung harus berkahwin dengan seorang anak dara.
14 Dia tidak boleh berkahwin dengan seorang balu, atau perempuan yang sudah bercerai, atau perempuan bekas pelacur. Dia hanya boleh berkahwin dengan seorang anak dara daripada puaknya sendiri.
15 Jika dia melanggar peraturan itu, anak-anaknya yang seharusnya suci, akan menjadi najis. Akulah TUHAN dan Aku sudah mengkhususkan dia sebagai Imam Agung.”
16 TUHAN menyuruh Musa
17 menyampaikan hal ini kepada Harun, “Sesiapa daripada keturunanmu yang mempunyai cacat tubuh, orang itu tidak boleh mempersembahkan persembahan makanan kepada-Ku. Peraturan ini berlaku selama-lamanya.
18 Orang yang mempunyai cacat tubuh seperti yang berikut tidak boleh mempersembahkan korban: orang buta, orang tempang, orang yang cacat muka atau cacat anggota tubuhnya;
19 orang yang lumpuh tangan atau tempang kakinya;
20 orang yang bongkok atau orang kerdil; orang yang berpenyakit mata atau berpenyakit kulit, dan orang yang dikembiri.
21 Setiap keturunan Imam Harun yang mempunyai cacat pada tubuhnya, tidak boleh mempersembahkan persembahan makanan kepada-Ku.
22 Tetapi orang yang demikian boleh makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada-Ku, sama ada persembahan makanan yang suci, mahupun persembahan makanan yang sangat suci.
23 Tetapi oleh sebab kecacatannya, dia tidak boleh mendekati tirai yang memisahkan Bilik Suci ataupun datang ke mazbah. Dia tidak boleh menajiskan benda-benda yang sudah dikhaskan untuk Aku, kerana Akulah TUHAN dan Akulah yang mengekhaskan benda-benda itu untuk Aku.”
24 Itulah peraturan-peraturan yang disampaikan oleh Musa kepada Harun, anak-anak Harun dan segenap umat Israel.
+ 21:5 Im 19.27-28; Ul 14.1