Allah Menjanjikan Seorang Penguasa
5
1 TUHAN berfirman, “Hai Betlehem Efrata, engkaulah salah satu kota yang terkecil di negeri Yehuda, tetapi daripadamu Aku akan memberi Israel seorang penguasa; asal usul nenek moyangnya bermula dari zaman purba.” +
2 Oleh itu TUHAN akan membiarkan umat-Nya dikuasai musuh sehingga wanita yang akan bersalin itu melahirkan anak lelakinya. Selepas itu orang dalam pembuangan akan berkumpul semula dengan sesama bangsa mereka.
3 Apabila penguasa itu tiba, dia akan memerintah rakyatnya dengan kekuatan daripada TUHAN, dan dengan keagungan TUHAN, Allah sendiri. Rakyatnya akan hidup aman kerana semua bangsa di bumi akan mengakui kebesarannya,
4 dan dia akan mendatangkan keamanan.
Pembebasan dan Hukuman
Apabila orang Asyur menyerang negeri kita dan menembusi pertahanan kita, kita akan mengutus pemimpin-pemimpin yang paling kuat untuk melawan mereka.
5 Dengan kekuatan senjata, mereka akan mengalahkan Asyur, tanah Nimrod, dan merekag akan menyelamatkan kita daripada serangan orang Asyur apabila mereka menyerang wilayah kita. +
6 Umat Israel yang masih hidup akan menjadi seperti embun yang menyegarkan, yang dikirim oleh TUHAN kepada banyak bangsa; mereka bagaikan titisan hujan pada tanaman. Mereka akan bersandar kepada Allah dan bukan kepada manusia.
7 Mereka yang masih hidup antara bangsa-bangsa lain akan menjadi seperti singa yang sedang mencari makanan di hutan atau di padang rumput; singa masuk ke tengah-tengah kawanan domba, menerkam serta mencabik-cabikkan domba; tiada sesiapa pun dapat menyelamatkan domba-domba itu.
8 Israel akan mengalahkan musuhnya dan membinasakan mereka semua.
9 TUHAN berfirman, “Pada masa itu Aku akan merampas kuda kamu dan memusnahkan kereta kuda kamu.
10 Aku akan memusnahkan kota-kota di negeri kamu dan merobohkan semua pertahanan kamu.
11 Aku akan memusnahkan azimat kamu dan menyingkirkan semua peramal kamu.
12 Aku akan memusnahkan patung-patung berhala dan tugu-tugu keramat kamu. Kamu tidak akan menyembah benda-benda buatan kamu sendiri lagi.
13 Aku akan merobohkan patung-patung Dewi Asyera di negeri kamu dan memusnahkan kota-kota kamu.
14 Dalam kemurkaan-Ku yang meluap-luap Aku akan membalas dendam-Ku terhadap semua bangsa yang tidak taat kepada-Ku.”