Tuduhan TUHAN terhadap Israel
6
1 Dengarlah perkara yang diajukan oleh TUHAN terhadap Israel.
Bangkitlah, ya TUHAN, dan ajukanlah perkara-Mu. Biarlah gunung dan bukit mendengar apa yang hendak Engkau firmankan.
2 Hai gunung-ganang, dasar bumi yang kekal, dengarlah perkara yang diajukan TUHAN! TUHAN mempunyai perkara dengan umat-Nya. Dia akan membawa tuduhan terhadap Israel.
3 TUHAN berfirman, “Hai umat-Ku, apakah yang telah Aku lakukan terhadap kamu? Dalam hal apakah Aku telah menjadi beban bagi kamu? Jawablah.
4 Aku membawa kamu keluar dari Mesir. Aku menyelamatkan kamu daripada perhambaan. Aku mengutus Musa, Harun, dan Miriam untuk memimpin kamu. +
5 Hai umat-Ku, ingatlah akan apa yang dirancang oleh Balak, raja Moab itu terhadap kamu, dan jawapan Bileam anak Beor kepadanya. Ingatlah akan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam perjalanan dari perkhemahan di Sitim sampai ke Gilgal. Ingatlah akan perkara-perkara itu, maka kamu akan menyedari apa yang telah Aku lakukan untuk menyelamatkan kamu.” +
Persembahan yang Berkenan kepada TUHAN
6 Apakah yang harus aku persembahkan kepada TUHAN, Allah di syurga, apabila aku datang menyembah Dia? Haruskah aku membawa anak lembu yang terbaik dan membakarnya sebagai korban untuk-Nya?
7 Adakah TUHAN berkenan jika aku mempersembahkan beribu-ribu ekor domba, atau minyak zaitun yang berlimpah-limpah kepada-Nya? Haruskah aku mempersembahkan anak sulungku kepada-Nya kerana dosaku?
8 Sekali-kali tidak! TUHAN telah memberitahu kita apa yang baik. Perkara yang dituntut oleh TUHAN daripada kita adalah supaya kita berlaku adil, selalu mengamalkan kasih, dan dengan rendah hati hidup bersatu dengan Allah kita.
9 Bijaklah orang yang takut akan TUHAN. TUHAN berseru kepada penduduk kota, “Dengarlah, hai kamu yang berkumpul di kota.h
10 Di rumah orang jahat terdapat harta yang diperoleh dengan tipu daya. Mereka menggunakan takaran palsu, suatu perbuatan yang Aku benci.
11 Bagaimana mungkin Aku dapat mengampuni orang yang menggunakan takaran dan timbangan palsu?
12 Orang kaya di kalangan kamu menindas orang miskin; kamu semua pendusta.
13 Oleh itu Aku sudah mulai memukul dan membinasakan kamu kerana dosa kamu.
14 Kamu akan makan, tetapi tidak kenyang; sebaliknya kamu akan tetap lapar. Kamu akan merampas barang, tetapi kamu tidak akan dapat menyimpannya. Segala sesuatu yang kamu simpan akan Aku musnahkan dalam peperangan.
15 Kamu akan menanam gandum, tetapi kamu tidak akan menuainya. Kamu akan membuat minyak daripada buah zaitun, tetapi kamu tidak dapat menggunakan minyaknya. Kamu akan membuat wain, tetapi kamu tidak dapat meminumnya.
16 Perkara ini akan berlaku kerana kamu telah mengikut perbuatan jahat Raja Omri, dan puteranya, Raja Ahab. Kamu mengikut peraturan yang ditetapkan oleh mereka. Oleh itu Aku akan membinasakan kamu, dan semua orang akan menghina kamu. Orangj di merata tempat akan membenci kamu.”k +
+ 6:4 Kel 4.10-16, 12.50-51, 15.20
+ 6:5 Bil 22.2—24.25; Yos 3.1—4.19
h 6:9 yang berkumpul di kota; Naskhah Ibrani: dan yang melantik dia. Tetapi.
i 6:13 Beberapa buah terjemahan kuno: mula; Naskhah Ibrani: menyebabkan kamu sakit.
j 6:16 Sebuah terjemahan kuno: Orang; Naskhah Ibrani: Umat-Ku.
k 6:16 Orang...kamu; atau Sebagai umat-Ku, kamu akan dibenci di merata tempat.
+ 6:16 1 Raj 16.23-34, 21.25-26