Tempat yang Bernama Tabera
11
1 Pada suatu hari umat Israel mula bersungut kepada TUHAN tentang kesusahan mereka. Apabila TUHAN mendengar sungutan mereka, Dia murka lalu mendatangkan api kepada mereka. Api itu merebak di tengah-tengah mereka dan menghanguskan sebahagian daripada perkhemahan.
2 Orang Israel berseru minta tolong kepada Musa, maka dia berdoa kepada TUHAN, lalu api itu padam.
3 Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Tabera,f kerana di situ api TUHAN merebak di tengah-tengah mereka.
Musa Memilih Tujuh Puluh Orang Pemimpin
4 Dalam perjalanan umat Israel, ada juga sebilangan orang asing di kalangan mereka. Orang asing itu ingin sekali makan daging, dan umat Israel pun mula bersungut, “Alangkah baiknya jika kita dapat makan daging.
5 Di Mesir, kita dapat makan ikan sebanyak yang kita mahu tanpa membayar apa-apa. Kita masih ingat akan timun, tembikai, bawang kucai, bawang merah, dan bawang putih di sana.
6 Tetapi sekarang kita kehabisan tenaga kerana tidak ada makanan lain kecuali manna tiap-tiap hari.”
7 Manna itu bentuknya seperti biji-biji kecil, berwarna putih kekuning-kuningan.
8-9 Pada waktu malam manna jatuh bersama-sama embun ke tempat perkhemahan. Pada waktu pagi, orang Israel pergi mengumpulkan manna, lalu menggiling atau menumbuknya menjadi tepung, kemudian merebusnya dan membuatnya menjadi roti tipis. Roti itu rasanya seperti roti yang dimasak dengan minyak zaitun. + +
10 Musa mendengar semua orang itu bersungut, ketika mereka berdiri berkelompok-kelompok di depan pintu khemah mereka. Musa gelisah kerana TUHAN murka terhadap mereka.
11 Musa berkata kepada TUHAN, “Mengapakah Engkau tidak memperlakukan aku dengan baik? Mengapakah Engkau tidak suka kepadaku? Mengapakah Engkau menyerahkan tanggungjawab atas semua orang ini kepadaku?
12 Mereka tidak kukandung dan tidak kulahirkan. Mengapakah Engkau menyuruh aku mengasuh dan mendukung mereka seperti bayi, sepanjang perjalanan ke tanah yang Engkau janjikan kepada nenek moyang mereka?
13 Di manakah harus aku cari daging yang cukup untuk semua orang itu? Lihatlah, mereka terus-menerus merungut dan meminta daging.
14 Aku tidak sanggup memikul tanggungjawab atas semua orang itu; tanggungjawab ini terlalu berat bagiku!
15 Jika Engkau memperlakukan aku begini, kasihanilah aku; bunuhlah aku dengan segera supaya aku tidak lagi menanggung penderitaan ini.”
16 TUHAN berfirman kepada Musa, “Kumpulkanlah tujuh puluh orang lelaki yang dihormati dan yang diakui sebagai pemimpin orang Israel. Bawalah mereka menghadap Aku di Khemah-Ku, dan suruhlah mereka berdiri di situ, di sampingmu.
17 Aku akan turun dan berfirman kepadamu di tempat itu, dan mereka akan Kuberikan sebahagian daripada kuasa yang sudah Kuberikan kepadamu. Dengan demikian, mereka akan dapat membantu engkau memikul tanggungjawab atas umat ini, dan engkau tidak lagi memikulnya sendirian.
18 Sekarang beritahulah orang Israel, ‘Sucikanlah diri kamu untuk esok, kerana kamu akan makan daging. TUHAN sudah mendengar kamu merungut dan berkata bahawa kamu ingin sekali makan daging, dan bahawa keadaan kamu lebih baik semasa di negeri Mesir. Sekarang TUHAN akan memberi kamu daging dan kamu mesti makan daging itu.
19 Kamu mesti memakannya bukan sahaja selama satu atau dua hari, atau lima, atau sepuluh, ataupun dua puluh hari,
20 tetapi selama satu bulan, sehingga kamu menjadi sakit dan muntah-muntah kerana daging itu. Hal itu akan terjadi kerana kamu menolak TUHAN yang ada di tengah-tengah kamu. Kamu juga bersungut kepada-Nya dengan berkata bahawa kamu tidak seharusnya meninggalkan Mesir.’”
21 Musa berkata kepada TUHAN, “Sekarang aku sedang memimpin 600,000 orang. Bagaimanakah Engkau dapat berfirman bahawa Engkau akan memberi mereka daging yang cukup selama satu bulan?
22 Cukupkah lembu dan domba untuk disembelih bagi mengenyangkan mereka? Cukupkah semua ikan di laut untuk mereka?”
23 TUHAN berfirman, “Adakah kuasa-Ku terbatas? Engkau akan segera melihat sama ada firman-Ku itu berlaku atau tidak!”
24 Oleh itu Musa keluar dan memberitahu umat Israel apa yang difirmankan TUHAN. Musa mengumpulkan tujuh puluh orang pemimpin dan menyuruh mereka berdiri di sekeliling Khemah TUHAN.
25 Kemudian TUHAN turun di dalam awan dan berfirman kepada Musa. TUHAN mengambil sebahagian daripada kuasa yang sudah diberikan-Nya kepada Musa, lalu memberikan kuasa itu kepada tujuh puluh orang pemimpin itu. Ketika Roh TUHAN turun ke atas mereka, mereka mula berseru seperti nabi, tetapi tidak lama.
26 Dua daripada tujuh puluh orang pemimpin itu, iaitu Eldad dan Medad, tinggal di perkhemahan dan tidak pergi ke Khemah TUHAN. Di perkhemahan itu, Roh turun ke atas mereka dan mereka pun mula berseru seperti nabi.
27 Seorang pemuda lari keluar untuk memberitahu Musa tentang hal yang berlaku kepada Eldad dan Medad.
28 Kemudian Yosua anak Nun, yang telah membantu Musa sejak masa mudanya, berkata kepada Musa, “Tuan, suruhlah mereka diam!”
29 Musa menjawab, “Adakah engkau memikirkan hal aku? Aku sangat berharap agar TUHAN memberikan Roh-Nya kepada semua umat-Nya, dan menyebabkan mereka semua berseru seperti nabi!”
30 Selepas itu Musa dan para pemimpin Israel itu balik ke perkhemahan.
TUHAN Mendatangkan Burung Puyuh
31 Tiba-tiba TUHAN mendatangkan angin dari laut; angin itu membawa burung-burung puyuh yang terbang rendah sekali, serendah kurang daripada satu meter dari permukaan tanah. Burung-burung itu berterbangan di atas perkhemahan dan di sekelilingnya sejauh beberapa kilometer.g
32 Sepanjang hari itu dan sepanjang malam, serta sepanjang hari berikutnya, orang asyik menangkap burung puyuh. Setiap orang menangkap tidak kurang daripada seribu kilogram burung puyuh. Mereka menjemur burung-burung yang ditangkap itu di sekeliling perkhemahan.
33 Sementara masih banyak daging burung puyuh, TUHAN murka kepada umat itu dan mendatangkan wabak kepada mereka.
34 Tempat itu dinamakan Kibrot-Taawa yang bererti “Kuburan Kerakusan” kerana di situlah mereka menguburkan orang yang mati kerana rakus.
35 Dari situ umat itu berpindah ke daerah Hazerot, lalu berkhemah di tempat itu.
f 11:3 Tabera: Nama ini bunyinya seperti kata Ibrani yang bererti “membakar”.
+ 11:8-9 Kel 16.31
+ 11:8-9 Kel 16.13-15
g 11:31 laut...terbang rendah sekali,...kilometer; atau Burung-burung itu hinggap di perkhemahan dan di sekelilingnya sampai sejauh beberapa kilometer, sehingga burung-burung itu bertimbun-timbun setinggi hampir satu meter di atas tanah.