101
Janji Seorang Raja kepada Allah 
1 Mazmur Daud. 
Aku menyanyi tentang kesetiaan dan keadilan, 
aku menyanyikan lagu ini untuk-Mu, ya TUHAN. 
2 Aku akan menjaga kelakuanku supaya tidak bercela. 
Bilakah Engkau akan datang kepadaku? 
Aku akan hidup suci di rumahku; 
3 aku tidak akan membiarkan kejahatan berlaku. 
Aku benci akan tindakan orang yang murtad; 
aku tidak mahu berhubungan dengan mereka. 
4 Aku tidak akan berlaku curang;u 
aku tidak akan terlibat dalam kejahatan.v 
5 Orang yang memfitnah dengan diam-diam 
akan aku binasakan; 
orang yang sombong dan angkuh 
tidak akan kubiarkan begitu. 
6 Aku berkenan akan orang yang setia kepada Allah; 
mereka akan kubenarkan tinggal di dalam istanaku; 
orang yang benar-benar jujur 
akan aku benarkan melayani aku. 
7 Pendusta tidak akan tinggal di dalam istanaku; 
orang munafik tidak akan berada di hadapanku. 
8 Tiap-tiap hari aku akan membinasakan 
orang jahat di negeri kita; 
aku akan mengusir semua orang jahat 
dari kota TUHAN. 
