102
Doa Orang dalam Kesusahan
1 Doa seorang yang sengsara dan letih lesu, yang mengeluh kepada TUHAN.
2 Dengarlah doaku, ya TUHAN,
dengarlah seruanku minta pertolongan.
3 Janganlah berpaling daripadaku
ketika aku dalam kesusahan.
Dengarlah apabila aku berseru,
dan jawablah permintaanku dengan segera.
4 Hidupku menghilang seperti asap;
badanku seolah-olah terbakar.
5 Aku layu seperti rumput kering,
dan seleraku hilang.
6 Aku mengerang dengan kuat;
badanku kurus kering.
7 Aku bagaikan burung liar di padang pasir,
bagaikan burung hantu di tempat runtuhan.
8 Aku tidak dapat tidur;
aku bagaikan burung yang kesepian di bumbung rumah.
9 Sepanjang hari musuh mencela aku;
mereka yang mempermainkan aku menggunakan namaku untuk mengutuk.
10 Abu menjadi makananku,
dan minumanku bercampur air mata
11 kerana kemurkaan-Mu yang menyala-nyala.
Engkau telah mengangkat dan membuang aku.
12 Hidupku berlalu seperti bayang-bayang pada waktu petang;
aku layu seperti rumput kering.
13 Tetapi Engkau, ya TUHAN, raja selama-lamanya;
semua keturunan akan mengingati Engkau.
14 Engkau akan bangkit dan mengasihani Sion;
masanya sudah tiba untuk mengasihaninya;
inilah masanya yang tepat.
15 Walaupun Sion telah musnah, hamba-hamba-Mu mengasihinya;
walaupun Sion telah runtuh, mereka mengasihaninya.
16 Bangsa-bangsa akan takut kepada TUHAN;
semua raja di bumi akan takut terhadap kuasa-Nya.
17 Apabila TUHAN membina Sion semula,
Dia akan menyatakan keagungan-Nya.
18 Dia akan mendengar doa umat-Nya yang papa,
dan tidak menolak permohonan mereka.
19 Tulislah semua perbuatan TUHAN untuk keturunan yang akan datang,
supaya generasi yang akan datang dapat memuji Dia.
20 TUHAN memandang ke bawah dari tempat-Nya yang suci,
Dia memandang dari syurga ke bumi,
21 untuk mendengar keluhan orang tawanan,
dan membebaskan mereka yang dijatuhi hukuman mati.
22 Oleh itu nama-Nya akan diisytiharkan di Sion;
Dia akan dipuji-puji di Yerusalem,
23 ketika bangsa dan kerajaan berkumpul
untuk menyembah TUHAN.
24 TUHAN melemahkan aku semasa aku masih muda;
Dia memendekkan umurku.
25 Ya Allah, janganlah ambil nyawaku,
sebelum lanjut usiaku.
Engkau hidup selama-lamanya;
26 dahulu Engkau menciptakan bumi,
dan langit pun karya tangan-Mu sendiri.
27 Semuanya akan lenyap, tetapi Engkau tetap ada;
semuanya akan usang seperti kain.
Engkau membuang semuanya seperti baju lama;
lalu semuanya akan lenyap.
28 Tetapi Engkau tetap sama,
hidup-Mu tidak akan berakhir. +
29 Anak-anak kami akan hidup dengan selamat,
dan keturunan mereka sentiasa aman dalam perlindungan-Mu.
+ 102:28 Ibr 1.10-12