103
Kasih Allah
Mazmur Daud.
Pujilah TUHAN, hai jiwaku!
Pujilah nama-Nya yang suci, hai segenap batinku!
Pujilah TUHAN, hai jiwaku,
dan jangan lupa akan kebaikan-Nya.
Dia mengampunkan segala dosaku,
dan menyembuhkan segala penyakitku;
Dia menyelamatkan aku daripada kematian
dan memberkati aku dengan kasih dan rahmat;
Dia memuaskan hidupku dengan segala yang baik,
sehingga aku tetap muda dan kuat seperti burung helang.
TUHAN membela orang yang tertindas
dan bertindak dengan adil.
Dia menyatakan rancangan-Nya kepada Musa,
dan perbuatan-Nya kepada bangsa Israel.
TUHAN pengasih dan penyayang,
panjang sabar, dan penuh dengan kasih. +
Dia tidak selalu murka,
Dia tidak selalu menaruh dendam.
10 Dia tidak menghukum kita setimpal dengan dosa kita,
Dia tidak membalas kita setimpal dengan kesalahan kita.
11 Tetapi setinggi langit dari bumi,
setinggi itu juga kasih-Nya kepada orang yang menghormati-Nya.
12 Sejauh timur dari barat,
sejauh itu juga dibuang-Nya dosa kita.
13 Seperti seorang bapa mengasihani anak-anaknya,
begitulah TUHAN mengasihani orang yang menghormati-Nya.
14 Dia tahu bagaimana kita dibentuk,
Dia ingat bahawa kita ini debu belaka.
15 Manusia bagaikan rumput,
yang tumbuh dan mengembang seperti bunga di padang.
16 Apabila ditiup angin, bunga pun hilang,
tiada orang melihatnya lagi.
17 Tetapi TUHAN tetap mengasihi orang yang menghormati Dia,
dan kebaikan-Nya berlangsung selama-lamanya,
18 bagi mereka yang setia kepada perjanjian-Nya,
dan mentaati perintah-Nya.
19 TUHAN membina takhta-Nya di syurga;
Dia raja yang menguasai semuanya.
20 Pujilah TUHAN, hai malaikat-malaikat yang kuat dan perkasa,
yang mendengar dan melakukan perintah-Nya!
21 Pujilah TUHAN, hai semua tentera syurga,
hai kamu yang melakukan kehendak-Nya!
22 Pujilah TUHAN, hai semua ciptaan di seluruh tempat Dia memerintah.
Pujilah TUHAN, hai jiwaku!
+ 103:8 Yak 5.11