115
Allah yang Esa
1 Bukan kami, ya TUHAN, bukan kami,
tetapi Engkau sahaja yang harus dimuliakan dan dipuji,
kerana Engkau setia dan tetap mengasihi kami.
2 Mengapakah bangsa-bangsa bertanya,
“Di manakah Allah mereka?”
3 Allah kami ada di syurga;
Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya.
4 Berhala-berhala mereka dibuat daripada perak dan emas,
dibentuk oleh tangan manusia.
5 Berhala-berhala itu mempunyai mulut tetapi tidak dapat bercakap,
mempunyai mata tetapi tidak dapat melihat,
6 mempunyai telinga tetapi tidak dapat mendengar,
mempunyai hidung tetapi tidak dapat menghidu,
7 mempunyai tangan tetapi tidak dapat meraba,
mempunyai kaki tetapi tidak dapat berjalan;
berhala-berhala itu tidak dapat bersuara.
8 Biarlah semua orang yang membuat berhala,
dan yang percaya kepada berhala,
9 Percayalah kepada TUHAN,
hai umat Israel.
Dialah yang menolong dan melindungi kamu.
10 Percayalah kepada TUHAN,
hai imam-imam Allah.
Dialah yang menolong dan melindungi kamu.
11 Percayalah kepada TUHAN,
hai semua orang yang menyembah Dia.
Dialah yang menolong dan melindungi kamu.
12 TUHAN mengingati kita dan akan memberkati kita;
Dia akan memberkati umat Israel
dan semua imam Allah.
13 Dia akan memberkati semua orang yang menghormati Dia;
baik orang besar mahupun orang biasa. +
14 Semoga TUHAN menganugerahkan anak-anak
kepada kamu dan keturunan kamu.
15 Semoga kamu diberkati TUHAN,
yang menjadikan langit dan bumi.
16 Syurga adalah kepunyaan TUHAN sahaja,
tetapi Dia memberikan bumi kepada manusia.
17 TUHAN tidak dipuji oleh orang mati,
orang yang sudah turun ke alam yang sunyi.m
18 Tetapi kita yang hidup bersyukur kepada-Nya,
sekarang dan selama-lamanya.
Pujilah TUHAN!