116
Orang yang Terlepas daripada Maut Memuji Allah 
1 Aku mengasihi TUHAN, kerana Dia mendengar seruanku; 
Dia mendengar permintaanku. 
2 Dia mendengar aku 
setiap kali aku berseru kepada-Nya. 
3 Maut mengepung aku, 
dan kengerian kubur meliputi aku; 
aku sangat takut dan cemas. 
4 Lalu aku berseru kepada TUHAN, 
“Aku memohon, ya TUHAN, selamatkanlah aku.” 
5 TUHAN itu pengasih dan adil; 
Allah kita penuh belas kasihan. 
6 TUHAN melindungi orang yang tidak berdaya; 
ketika aku menghadapi bahaya, Dia menyelamatkan aku. 
7 Aku mesti tenang, 
kerana TUHAN baik kepadaku. 
8 TUHAN telah menyelamatkan aku daripada maut; 
Dia menghentikan air mataku 
dan tidak membiarkan aku dikalahkan. 
9 Maka aku hidup di hadirat TUHAN, 
di dunia orang yang hidup. 
10 Aku tetap percaya, walaupun aku berkata, 
“Aku dikalahkan sama sekali.” + 
11 Walaupun dalam kecemasan aku berkata, 
“Tiada seorang pun yang boleh dipercayai.” 
12 Apakah yang dapat aku persembahkan kepada TUHAN 
untuk segala kebaikan-Nya terhadap aku? 
13 Aku akan memberikan persembahan wain kepada TUHAN, 
untuk bersyukur kepada-Nya kerana Dia menyelamatkan aku. 
14 Di hadapan semua umat-Nya, 
aku akan menunaikan janjiku kepada-Nya. 
15 TUHAN sangat sedih 
apabila orang yang setia kepada-Nya mati. 
16 Aku ini hamba-Mu, ya TUHAN; 
aku mengabdi kepada-Mu seperti ibuku dahulu. 
Engkau telah menyelamatkan aku daripada maut. 
17 Aku akan mempersembahkan korban syukur kepada-Mu, 
dan aku akan berdoa kepada-Mu. 
18 Aku akan menunaikan janjiku kepada TUHAN 
di hadapan semua umat-Nya, 
19 di halaman Rumah TUHAN, 
di kota Yerusalem. 
Pujilah TUHAN! 
+ 116:10  2 Kor 4.13
