124
Allah Pelindung Umat-Nya 
1 Lagu ziarah oleh Daud. 
Bagaimanakah keadaannya jika TUHAN tidak memihak kita? 
Jawablah, hai Israel! 
2 “Jika TUHAN tidak memihak kita, 
ketika musuh menyerang kita, 
3 tentu mereka sudah menelan kita hidup-hidup 
kerana kemarahan mereka menyala-nyala; 
4 tentu kita sudah dihanyutkan banjir, 
dan kita digenangi air; 
5 tentu kita sudah mati lemas 
dalam air yang deras.” 
6 Marilah kita bersyukur kepada TUHAN, 
yang tidak membiarkan musuh membinasakan kita. 
7 Kita seperti burung yang lepas dari jerat pemburu; 
jerat itu sudah dirosakkan dan kita pun bebas! 
8 Pertolongan kita datang daripada TUHAN, 
yang menjadikan langit dan bumi. 
