128
Berkat kerana Taat kepada TUHAN 
1 Lagu ziarah. 
Berbahagialah orang yang taat kepada TUHAN, 
yang hidup menurut perintah-Nya. 
2 Hasil jerih payahmu akan mencukupi keperluanmu; 
engkau akan berbahagia dan makmur. 
3 Isterimu akan menjadi seperti pokok anggur yang subur di dalam rumahmu, 
dan anak-anakmu umpama pokok zaitun yang muda di sekeliling mejamu. 
4 Orang yang taat kepada TUHAN 
pasti akan diberkati sedemikian. 
5 Semoga TUHAN yang di Sion memberkati kamu! 
Semoga engkau melihat Yerusalem makmur seumur hidupmu! 
6 Semoga engkau panjang umur 
untuk melihat cucu-cucumu! 
Sejahteralah Israel! 
