141
Doa Malam 
1 Mazmur Daud. 
Aku berseru kepada-Mu, ya TUHAN; tolonglah aku sekarang! 
Dengarlah aku apabila aku berseru kepada-Mu. 
2 Terimalah doaku sebagai kemenyan, 
dan sambutlah tangan yang aku tadahkan sebagai korban malam. + 
3 Ya TUHAN, kawallah mulutku, 
dan jagalah bibirku. 
4 Jauhkan aku daripada keinginan berbuat jahat, 
dan daripada pergaulan dengan orang derhaka. 
Jangan biarkan aku berpesta dengan mereka. 
5 Aku rela menerima hukuman dan teguran daripada orang baik, 
tetapi aku tidak akan menerima pujian daripada orang jahat 
kerana aku sentiasa berdoa menentang perbuatan jahat mereka. 
6 Apabila pemerintah mereka dicampakkan dari tebing batu, 
barulah mereka akan mengakui bahawa perkataanku benar. 
7 Seperti kayu yang dibelah dan ditetak kecil-kecil, 
begitulah juga tulang mereka dihamburkan di tepi kubur. 
8 Tetapi aku tetap percaya kepada-Mu, ya TUHAN Rajaku; 
aku mengharapkan perlindungan-Mu; 
janganlah biarkan aku mati! 
9 Lindungilah aku dari perangkap yang dipasang untukku, 
dari jerat yang dipasang oleh orang jahat. 
10 Biarlah mereka jatuh ke dalam perangkap mereka sendiri, 
sedangkan aku dapat melepaskan diri dan selamat. 
+ 141:2  Why 5.8
