143
Doa Minta Tolong 
1 Mazmur Daud. 
Ya TUHAN, dengarlah doaku, 
terimalah rayuanku! 
Engkau baik dan setia, 
oleh itu jawablah aku! 
2 Janganlah hakimi aku, hamba-Mu; 
tiada seorang pun yang tidak bersalah di hadapan-Mu. + 
3 Musuhku telah memburu aku, 
dan mengalahkan aku. 
Dia memasukkan aku ke dalam penjara yang gelap, 
dan aku ini seperti orang yang sudah lama mati. 
4 Oleh itu aku putus asa, 
aku tidak berdaya. 
5 Aku mengingatkan masa yang lalu; 
aku memikirkan segala yang telah Engkau lakukan, 
aku mengenangkan segala perbuatan-Mu. 
6 Aku berdoa dengan menghulurkan tangan kepada-Mu; 
aku memerlukan Engkau seperti tanah kering memerlukan hujan. 
7 Jawablah aku segera, ya TUHAN, 
aku putus harapan. 
Jangan sembunyikan diri-Mu daripadaku, 
supaya aku tidak menjadi seperti orang yang sudah turun ke alam maut. 
8 Setiap pagi ingatkanlah aku tentang kasih-Mu, 
kerana aku berharap kepada-Mu. 
Aku berdoa kepada-Mu; 
tunjukkanlah aku jalan yang harus aku tempuh. 
9 Aku datang hendak berlindung kepada-Mu, 
ya TUHAN, selamatkanlah aku daripada musuhku. 
10 Engkaulah Allahku; 
ajarlah aku melakukan kehendak-Mu. 
Berbuat baiklah kepadaku, 
dan pimpinlah aku ke jalan yang selamat. 
11 Selamatkanlah aku, ya TUHAN, menurut firman-Mu; 
selamatkanlah aku daripada kesusahan kerana Engkau baik. 
12 Bunuhlah musuhku kerana Engkau mengasihi aku; 
binasakanlah semua penindasku, kerana aku ini hamba-Mu. 
+ 143:2  Rm 3.20; Gal 2.16
