149
Lagu Pujian 
1 Pujilah TUHAN! 
Nyanyikanlah lagu baru untuk TUHAN; 
pujilah Dia dalam perhimpunan umat-Nya yang setia! 
2 Bergembiralah, hai orang Israel, kerana Pencipta kamu; 
bersukacitalah, hai penduduk Sion, kerana Raja kamu! 
3 Pujilah nama-Nya dengan tarian; 
pujilah Dia dengan memainkan kecapi dan tamburin. 
4 TUHAN berkenan kepada umat-Nya; 
Dia memberikan kemenangan kepada orang yang bergantung kepada-Nya. 
5 Hendaklah umat Allah bersukacita kerana mereka menang, 
dan bernyanyi dengan gembira sepanjang malam. 
6 Hendaklah mereka memuji Allah dengan bersorak-sorak, 
sambil memegang pedang yang tajam 
7 untuk mengalahkan bangsa-bangsa, 
dan menghukum rakyat mereka; 
8 untuk membelenggu raja-raja 
dan merantai pemimpin mereka, 
9 untuk menghukum bangsa-bangsa menurut perintah Allah. 
Itulah kemenangan umat Allah. 
Pujilah TUHAN! 
