26
Doa Orang yang Tidak Bersalah 
1 Mazmur Daud. 
Berilah aku keadilan, ya TUHAN, 
kerana aku melakukan yang benar, 
dan aku percaya kepada-Mu dengan sepenuhnya. 
2 Periksalah aku, ya TUHAN, dan ujilah aku, 
selidiklah keinginanku dan fikiranku. 
3 Kasih-Mu membimbing aku; 
kesetiaan-Mu sentiasa memimpin aku.s 
4 Aku tidak bergaul dengan orang yang tidak berguna; 
aku tidak berhubungan dengan orang yang berpura-pura. 
5 Aku membenci pergaulan dengan orang jahat, 
dan aku menjauhkan diri daripada penjahat. 
6 Ya TUHAN, aku membasuh tanganku tanda tidak bersalah, 
dan aku mengelilingi mazbah-Mu untuk menyembah Engkau. 
7 Aku menyanyikan sebuah mazmur 
dan memberitakan segala perbuatan-Mu yang ajaib itu. 
8 Ya TUHAN, aku mengasihi Rumah kediaman-Mu, 
tempat yang penuh dengan kemuliaan-Mu. 
9 Janganlah musnahkan aku bersama-sama orang berdosa; 
lindungilah aku daripada nasib pembunuh, 
10 iaitu orang yang sentiasa melakukan kejahatan 
dan selalu sedia menerima rasuah. 
11 Tetapi aku hidup dengan tulus hati; 
kasihanilah dan selamatkanlah aku. 
12 Aku selamat daripada segala bahaya; 
aku akan memuji TUHAN dalam perhimpunan umat-Nya. 
s 26:3 kesetiaan-Mu sentiasa memimpin aku; atau aku tetap setia kepada-Mu.
