27
Doa Pujian
1 Mazmur Daud.
TUHAN adalah cahayaku dan penyelamatku;
aku tidak akan takut kepada sesiapa pun.
TUHAN melindungi aku daripada segala bahaya;
aku tidak akan gentar.
2 Apabila orang jahat menyerang aku dan cuba membunuh aku,
mereka akan tersandung lalu jatuh.
3 Walaupun semua tentera mengepung aku,
aku tidak akan takut;
walaupun musuhku menyerang aku,
aku akan tetap percaya kepada Allah.t
4 Aku telah memohon satu perkara kepada TUHAN;
hanya satu sahaja yang aku minta;
untuk tinggal di dalam Rumah TUHAN sepanjang hidupku,
untuk menyaksikan segala kebaikan-Nya,
dan meminta bimbingan-Nya.
5 Pada masa kesusahan Dia akan melindungi aku;
Dia akan menjaga aku supaya selamat di dalam Rumah-Nya,
dan menempatkan aku di atas gunung batu.
6 Maka aku akan mengalahkan semua musuh di sekelilingku.
Dengan sorakan gembira aku akan mempersembahkan korban di dalam Rumah-Nya;
aku akan menyanyi dan memuji TUHAN.
7 Dengarlah aku, ya TUHAN, apabila aku berseru kepada-Mu.
Kasihanilah aku dan jawablah aku!
8 Hatiku berkata, “Marilah menyembah Dia.”
Aku segera datang, ya TUHAN;
9 janganlah sembunyikan diri-Mu daripadaku.
Janganlah marah dan tolak hamba-Mu.
Engkaulah yang telah menjadi penolongku.
Janganlah tinggalkan atau buang aku,
ya Allah, penyelamatku!
10 Sekalipun ibu dan bapaku meninggalkan aku,
tetapi TUHAN akan memelihara aku.
11 Ajarilah aku kehendak-Mu, ya TUHAN,
dan pimpinlah aku pada jalan yang selamat,
kerana musuhku amat banyak.
12 Janganlah serahkan aku kepada musuhku,
yang menyerang aku dengan fitnah dan ancaman.
13 Aku yakin bahawa aku akan mengalami kebaikan TUHAN
dalam hidupku di dunia ini.
14 Berharaplah kepada TUHAN!
Percayalah kepada-Nya dan jangan putus asa.
Ya, berharaplah kepada TUHAN!
t 27:3 tetap percaya kepada Allah; atau tidak patah semangat.