28
Doa Minta Tolong 
1 Mazmur Daud. 
Ya TUHAN, pembelaku, aku berseru kepada-Mu. 
Dengarlah teriakanku! 
Jika Engkau tidak mengabulkan doaku, 
aku seperti orang yang masuk ke lubang kubur. 
2 Dengarkanlah aku ketika aku berseru meminta pertolongan, 
aku mengangkat tanganku ke arah Rumah-Mu yang suci. 
3 Janganlah hukum aku bersama dengan orang durjana, 
bersama-sama orang yang melakukan kejahatan - 
orang yang bermulut manis, 
tetapi hati diliputi kebencian. 
4 Hukumlah mereka kerana perbuatan mereka, 
kerana segala kejahatan yang telah dilakukan mereka. 
Hukumlah mereka kerana segala perbuatan mereka; 
balaslah mereka dengan sepatutnya. + 
5 Mereka tidak mempedulikan perbuatan TUHAN, 
mahupun segala ciptaan-Nya; 
oleh itu TUHAN akan menghukum mereka 
dan memusnahkan mereka selama-lamanya. 
6 Pujilah TUHAN; 
Dia telah mendengar permohonanku. 
7 TUHAN melindungi dan membela aku; 
aku percaya kepada-Nya. 
Dia menolong aku dan menggirangkan hatiku; 
aku memuji Dia dengan lagu kesyukuran. 
8 TUHAN melindungi umat-Nya; 
Dia membela dan menyelamatkan raja pilihan-Nya. 
9 Ya TUHAN, selamatkanlah umat-Mu, 
dan berkatilah mereka yang menjadi milik-Mu. 
Jadilah seperti gembala bagi mereka, 
dan jagalah mereka selama-lamanya. 
+ 28:4  Why 22.12
