30
Doa Kesyukuran 
1 Mazmur Daud. Lagu untuk pentahbisan Rumah TUHAN. 
2 Aku memuji Engkau, ya TUHAN, kerana Engkau telah menyelamatkan aku 
dan tidak membiarkan musuhku mentertawakan aku. 
3 Aku berseru kepada-Mu meminta pertolongan, ya TUHAN, Allahku, 
dan Engkau menyembuhkan aku. 
4 Engkau menghalang aku turun ke alam maut, 
dan menyelamatkan aku dari dunia orang mati. 
5 Nyanyikanlah pujian kepada TUHAN, 
hai umat-Nya yang setia! 
Ingatlah perkara yang telah dilakukan Yang Maha Suci 
dan bersyukurlah kepada-Nya! 
6 Kemurkaan-Nya hanya sekejap sahaja, 
tetapi kebaikan-Nya berlangsung sepanjang umur. 
Air mata mungkin mengalir pada waktu malam, 
tetapi fajar membawa kegembiraan. 
7 Ketika aku berasa selamat, aku berkata, 
“Aku tidak akan dikalahkan.” 
8 Engkau sungguh baik kepadaku, ya TUHAN; 
seperti gunung yang kuat Engkau melindungi aku. 
Tetapi apabila Engkau menyembunyikan diri daripadaku, 
aku berasa takut. 
9 Aku berseru kepada-Mu, ya TUHAN; 
aku memohon pertolongan, 
10 “Faedah apakah yang Kauperoleh daripada kematianku? 
Keuntungan apakah yang Kaudapat jika aku masuk ke lubang kubur? 
Adakah orang mati memuji-Mu? 
Dapatkah mereka memberitakan kesetiaan-Mu? 
11 Dengarlah aku, ya TUHAN, dan kasihanilah aku. 
TUHAN tolonglah aku!” 
12 Engkau telah mengubah kedukaanku menjadi tarian gembira; 
Engkau telah mengambil kesedihanku dan meliputi aku dengan kegembiraan. 
13 Maka aku tidak akan berdiam diri; 
aku akan menyanyikan pujian kepada-Mu. 
Ya TUHAN, Engkaulah Allahku, 
aku akan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya. 
