31
Berharap kepada Allah
1 Mazmur Daud.
2 Aku berlindung pada-Mu, ya TUHAN,
jangan biarkan aku dipermalukan.
Engkau Allah yang adil;
selamatkanlah aku.
3 Dengarlah aku! Selamatkanlah aku dengan segera!
Jadilah penaungku untuk melindungi aku,
dan pembelaku untuk menyelamatkan aku.
4 Engkaulah penaungku dan pembelaku;
bimbinglah aku menurut janji-Mu.
5 Selamatkanlah aku daripada perangkap yang dipasang untukku;
Engkaulah tempat perlindunganku.
6 Aku serahkan diriku kepada jagaan-Mu.
Engkau akan menyelamatkan aku, ya TUHAN, Allah yang setia. +
7 Engkau membenci orang yang menyembah berhala,
tetapi aku percaya kepada TUHAN.
8 Aku akan bergembira dan bergirang,
kerana Engkau tetap mengasihi aku.
Engkau nampak penderitaanku;
Engkau tahu kesusahanku.
9 Engkau tidak membenarkan aku ditawan musuh;
Engkau membolehkan aku berjalan dengan bebas.
10 Kasihanilah aku, ya TUHAN,
kerana aku dalam kesusahan;
mataku pedih kerana menangis;
jiwa ragaku merana.
11 Kedukaan telah menyingkatkan hidupku,
dan tangisan telah memendekkan umurku.
Kesihatanku merosot kerana kesusahanku,w
bahkan tulangku menjadi rapuh.
12 Semua musuhku mentertawakan aku;
jiran-jiranku menghina aku;
mereka yang mengenal aku takut akan aku;
mereka lari apabila nampak aku di jalan.
13 Aku dilupakan seolah-olah aku sudah mati;
aku umpama barang terbuang.
14 Aku mendengar bisikan musuhku;
perkara dahsyat terdapat di sekelilingku.
Mereka berkomplot menentang aku,
dan merancang hendak membunuh aku.
15 Tetapi aku berharap kepada-Mu, ya TUHAN;
Engkaulah Allahku.
16 Aku sentiasa berada dalam jagaan-Mu;
selamatkanlah aku daripada musuhku
dan daripada mereka yang menganiaya aku.
17 Semoga Engkau berkenan kepada hamba-Mu;
selamatkanlah aku demi kasih-Mu.
18 Aku berseru kepada-Mu, ya TUHAN;
jangan biarkan aku dipermalukan.
Biarlah orang jahat dipermalukan,
dan turun ke alam maut dengan senyap.
19 Biarlah pembohong menjadi kelu,
kerana mereka sombong dan menghina orang jujur.
20 Betapa limpahnya kebaikan-Mu
yang Engkau sediakan untuk orang yang menghormati Engkau.
Setiap orang melihat kebaikan yang Engkau lakukan
bagi mereka yang berlindung kepada-Mu.
21 Engkau menyembunyikan mereka di tempat hadirat-Mu,
yang selamat daripada komplot manusia;
Engkau menyembunyikan mereka di tempat perlindungan
yang selamat daripada hinaan musuh mereka.
22 Terpujilah TUHAN!
Sangat mengagumkan kasih-Nya bagiku,
ketika aku dikepung dan diserang oleh musuh.
23 Aku takut dan menyangka
bahawa TUHAN telah mengusir aku dari hadirat-Nya.
Tetapi Dia telah mendengar seruanku,
ketika aku minta pertolongan-Nya.
24 Kasihilah TUHAN, hai semua umat-Nya yang setia.
TUHAN melindungi orang yang setia,
tetapi menghukum orang yang sombong.
25 Kuatkanlah dan teguhkanlah hati kamu,
kamu semua yang berharap kepada TUHAN.