56
Kepercayaan kepada Allah pada Waktu Kesusahan 
1 Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Merpati dari Daerah Jauh, yang Membisu. Mazmur Daud, pada masa orang Filistin menangkap dia di Gat. + 
2 Kasihanilah aku, ya Allah, kerana aku diserang; 
musuh-musuhku menganiaya aku sepanjang masa. 
3 Sepanjang hari lawanku menyerang aku; 
banyak orang yang melawan aku. 
4 Ketika aku takut, ya Allah Yang Maha Kuasa, 
aku berharap kepada-Mu. 
5 Aku percaya kepada Allah dan aku tidak takut; 
aku memuji Dia kerana janji-Nya. 
Apakah yang dapat dilakukan manusia terhadapku? 
6 Sepanjang hari musuhku menyusahkan aku; 
mereka sentiasa berusaha untuk mencelakakan aku. 
7 Mereka berkumpul di tempat persembunyian, 
dan mengawasi segala gerak-geriku, 
sambil mencari kesempatan untuk membunuh aku. 
8 Hukumlahj mereka, ya Allah kerana kejahatan mereka, 
dengan kemurkaan-Mu, binasakanlah mereka! 
9 Engkau tahu betapa cemasnya hatiku; 
Engkau tahu betapa banyaknya air mataku. 
Bukankah semuanya itu tercatat di dalam kitab-Mu? 
10 Pada hari aku berseru kepada-Mu, 
mundurlah musuh-musuhku. 
Aku tahu bahawa Allah memihak aku. 
11 Aku memuji TUHAN Allah kerana janji-Nya. 
12 Aku percaya kepada-Nya dan aku tidak takut. 
Apakah yang dapat dilakukan manusia kepadaku? 
13 Ya Allah, aku akan menepati janjiku kepada-Mu, 
aku akan mempersembahkan korban kesyukuran kepada-Mu. 
14 Engkau telah menyelamatkan aku daripada kematian, 
dan menjauhkan aku daripada kekalahan. 
Oleh itu, aku dapat hidup dalam perlindungan Allah, 
dalam cahaya yang menerangi semua yang hidup. 
