57
Doa Minta Tolong 
1 Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Jangan Musnahkan. Mazmur Daud, pada masa dia lari ke dalam gua untuk menghindari Raja Saul. + 
2 Kasihanilah aku, ya Allah, kasihanilah aku, 
kerana aku mencari keselamatan daripada-Mu. 
Aku mendapat perlindungan di bawah naungan sayap-Mu, 
sehingga ribut yang mengamuk sudah berlalu. 
3 Kepada Allah Yang Maha Tinggi aku berseru, 
Dia Allah yang memenuhi segala keperluanku. 
4 Dia akan menjawab dari syurga dan menyelamatkan aku; 
Dia akan mengalahkan orang yang menindas aku. 
Allah akan menunjukkan kasih dan kesetiaan-Nya kepadaku. 
5 Aku dikepung oleh musuh, 
mereka seperti singa pemakan manusia. 
Gigi mereka seperti lembing dan anak panah; 
lidah mereka seperti pedang yang tajam. 
6 Ya Allah, tunjukkanlah keagungan-Mu di langit, 
dan kemuliaan-Mu di seluruh bumi! 
7 Musuhku memasang jaring untuk menangkap aku, 
aku diliputi perasaan putus asa. 
Mereka menggali lubang di jalanku, 
tetapi mereka sendiri terjatuh ke dalamnya. 
8 Ya Allah, aku sungguh yakin kepada-Mu; 
aku hendak menyanyi dan memuji Engkau! 
9 Bangunlah, hai jiwaku! 
Bangunlah, hai gambus dan kecapi! 
Aku akan membangunkan matahari! 
10 Ya Tuhan, aku akan bersyukur kepada-Mu antara bangsa-bangsa. 
Aku akan memuji Engkau antara umat manusia. 
11 Kasih-Mu membumbung setinggi langit, 
kesetiaan-Mu sampai ke awan yang tinggi. 
12 Ya Allah, tunjukkanlah keagungan-Mu di langit, 
dan kemuliaan-Mu di seluruh bumi. 
+ 57:1  1 Sam 22.1, 24.3
