61
Doa Minta Perlindungan
1 Untuk pemimpin koir. Dengan iringan kecapi. Mazmur Daud.
2 Dengarlah seruanku, ya Allah,
dengarlah doaku!
3 Dari negeri yang jauh aku berseru kepada-Mu,
kerana aku putus asa.
Bawalah aku ke tempat perlindungan yang selamat,
4 kerana Engkaulah pelindungku,
pertahanan yang kuat terhadap musuhku.
5 Izinkanlah aku tinggal di khemah-Mu sepanjang hidupku;
supaya aku selamat di bawah naungan sayap-Mu.
6 Ya Allah, Engkau telah mendengar janjiku,
dan memberikan pusaka orang yang menghormati Engkau kepadaku.
7 Lanjutkanlah usia raja,
semoga kerajaannya berlanjutan turun-temurun.
8 Semoga raja memerintah selama-lamanya di hadirat-Mu;
ya Allah, lindungilah raja dengan kesetiaan dan kasih-Mu.
9 Maka aku akan selalu menyanyikan pujian kepada-Mu,
dan setiap hari aku akan menepati janjiku.