65
Pujian dan Kesyukuran 
1 Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Lagu. 
2 Kami patut memuji Engkau di Sion, ya Allah, 
dan memenuhi janji kami kepada-Mu, 
3 kerana Engkau mengabulkan doa. 
Semua orang akan datang kepada-Mu 
4 kerana mereka berdosa. 
Dosa-dosa kami terlalu berat bagi kami,o 
tetapi Engkau mengampunkan dosa kami. 
5 Berbahagialah mereka yang telah Engkau pilih, 
mereka yang Engkau bawa tinggal di Rumah-Mu. 
Kami akan dipuaskan dengan segala yang baik di Rumah-Mu, 
berkat-Mu untuk kami di kediaman-Mu yang suci. 
6 Engkau menjawab seruan kami dengan memberi kami kemenangan; 
Engkau menyelamatkan kami dengan melakukan hal-hal yang menakjubkan. 
Engkau harapan orang di seluruh dunia, 
dan orang di seberang laut yang jauh. 
7 Dengan kekuatan-Mu, Engkau menegakkan gunung pada tempatnya, 
untuk menunjukkan kuasa-Mu yang besar. 
8 Engkau meredakan deruan lautan dan gemuruh ombak; 
Engkau menenangkan kegemparan bangsa-bangsa. 
9 Semua penduduk bumi takut dan hormat, 
ketika melihat perbuatan-perbuatan-Mu yang hebat. 
Tindakan-Mu membawa sorakan riang 
di seluruh bumi dari hujung ke hujung. 
10 Engkau memelihara bumi dengan menurunkan hujan; 
Engkau menjadikan tanahnya baik dan subur. 
Engkau mengisi anak sungai dengan air; 
Engkau menumbuhkan tanaman di bumi. 
Begitulah perbuatan-Mu. 
11 Engkau menurunkan hujan lebat 
dan mengairi ladang yang dibajak; 
Engkau menggemburkan tanah dengan curahan hujan 
dan menjadikan tanaman tumbuh dengan subur. 
12 Betapa banyaknya hasil tanaman kerana kebaikan-Mu! 
Ke mana sahaja Engkau pergi, makanan berlimpah selalu. 
13 Padang rumput penuh dengan ternakan; 
bukit-bukit penuh dengan kegembiraan. 
14 Ladang-ladang penuh dengan domba, 
lembah-lembah penuh dengan gandum; 
semuanya bersorak dan bernyanyi dengan gembira. 
o 65:4  Sebuah terjemahan kuno: kami; Naskhah Ibrani: aku.
