64
Doa Minta Perlindungan 
1 Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. 
2 Aku dalam kesusahan, ya Allah - dengarlah doaku! 
Aku takut kepada musuhku - selamatkanlah aku! 
3 Lindungilah aku daripada komplot orang derhaka, 
dan daripada rusuhan orang durjana. 
4 Lidah mereka setajam pedang, 
kata-kata mereka berbisa seperti anak panah beracun. 
5 Mereka menyebarkan dusta dari tempat persembunyian; 
mereka membinasakan orang baik dengan fitnah. 
6 Mereka menggalakkan sesama sendiri untuk melakukan yang jahat; 
mereka berunding tentang tempat memasang perangkap; 
mereka menyangka tiada orang yang melihat. 
7 Mereka membuat rancangan jahat dan berkata, 
“Kita telah merancang jenayah yang licik sekali.” 
Sungguh dalamnya hati serta fikiran manusia, 
sehingga tidak dapat diselami. 
8 Tetapi Allah melepaskan anak panah-Nya terhadap mereka, 
dan dengan serta-merta mereka cedera. 
9 Dia akan membinasakan mereka kerana kata-kata mereka;n 
semua orang yang melihat mereka akan menggelengkan kepala. 
10 Mereka akan ketakutan; 
mereka memikirkan tindakan Allah, 
dan memberitakan perbuatan-Nya. 
11 Semua orang baik akan bergirang kerana perbuatan TUHAN; 
mereka akan mendapat perlindungan daripada-Nya; 
semua orang yang tulus akan memuji Dia. 
n 64:9  Dapat bermakna: Dia akan membinasakan mereka kerana kata-kata mereka; Naskhah Ibrani: Mereka akan membinasakan Dia, kata-kata mereka menentang mereka.
