63
Rindu akan Allah 
1 Mazmur Daud, semasa dia di padang gurun Yehuda. + 
2 Ya Allah, Engkaulah Allahku, aku rindu akan Engkau. 
Seperti tanah tandus haus akan air, begitulah aku haus akan Engkau. 
3 Izinkanlah aku melihat Engkau di Rumah-Mu, 
serta melihat kuasa dan kemuliaan-Mu. 
4 Kasih-Mu lebih berharga daripada hidup, 
oleh itu aku memuji Engkau. 
5 Aku bersyukur kepada-Mu seumur hidupku; 
aku menadahkan tangan kepada-Mu sambil berdoa. 
6 Jiwaku dijamu dan dipuaskan, 
dan aku akan menyanyikan lagu-lagu pujian untuk-Mu. 
7 Waktu aku berbaring di katil, 
aku ingat akan Engkau; 
sepanjang malam aku merenungkan Engkau, 
8 kerana Engkau sentiasa menolong aku; 
aku menyanyi dengan riang di bawah naungan sayap-Mu. 
9 Aku berpaut kepada-Mu, 
tangan-Mu yang kuat menopang aku. 
10 Orang yang cuba membunuh aku 
akan turun ke dunia orang mati; 
11 mereka akan dibunuh dalam pertempuran, 
dan mayat mereka dimakan serigala. 
12 Raja akan bersukacita kerana Allah memberi raja kemenangan; 
semua orang yang berjanji demi Allah akan bergembira, 
tetapi suara pendusta akan disenyapkan. 
+ 63:1  1 Sam 23.14
