69
Seruan Minta Tolong
1 Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Bunga Bakung. Oleh Daud.
2 Selamatkanlah aku, ya Allah!
Air sudah naik ke leherku;
3 aku hampir tenggelam di lumpur yang dalam,
dan tiada tempat berjejak;
aku berada di air yang dalam,
dan ombak pun hampir melemaskan aku.
4 Aku letih berseru meminta pertolongan,
dan kerongkongku sakit.
Mataku pedih
menantikan pertolongan-Mu.
5 Orang yang membenci aku tanpa sebab,
lebih banyak daripada rambut pada kepalaku.
Musuhku memfitnah aku,
mereka kuat dan mahu membunuh aku.
Mereka memaksa aku menyerahkan barang-barang yang tidak aku curi. +
6 Ya Allah, dosa-dosaku tidak tersembunyi daripada-Mu,
Engkau tahu betapa bodohnya aku.
7 Janganlah biarkan aku mendatangkan malu kepada orang yang berharap kepada-Mu,
ya TUHAN Raja Yang Maha Kuasa!
Janganlah biarkan aku mendatangkan aib kepada mereka yang menyembah Engkau,
ya Allah umat Israel!
8 Kerana Engkaulah, aku dikeji,
dan diliputi perasaan malu.
9 Aku bagaikan orang asing kepada saudara-saudaraku,
seperti orang luar kepada keluargaku.
10 Cintaku untuk Rumah-Mu berkobar-kobar seperti api;
hinaan yang ditujukan kepada-Mu menimpa diriku. +
11 Aku merendahkan diriu dengan berpuasa,
tetapi manusia mencela aku.
12 Ketika aku mengenakan pakaian perkabungan,
mereka mentertawakan aku.
13 Aku menjadi buah mulut di tempat orang berkumpul,
dan nyanyian orang mabuk adalah tentang aku.
14 Tetapi bagiku, aku akan berdoa kepada-Mu, ya TUHAN;
kabulkanlah doaku, ya Allah, menurut waktu-Mu.
Kabulkan doaku demi kasih-Mu yang besar,
kerana Engkau menepati janji untuk menyelamatkan aku.
15 Janganlah biarkan aku tenggelam di dalam lumpur;
selamatkanlah aku daripada musuh-musuhku,
dan daripada air yang dalam.
16 Janganlah biarkan banjir menghanyutkan aku;
janganlah biarkan aku tenggelam di dasar laut,
ataupun terbenam di dalam kubur.
17 Kabulkanlah doaku, ya TUHAN, kerana Engkau baik dan tetap mengasihi;
dengan rahmat-Mu yang besar, berpalinglah kepadaku!
18 Janganlah bersembunyi daripada hamba-Mu;
aku dalam kesusahan besar - cepatlah tolong aku!
19 Marilah dan selamatkanlah aku;
bebaskanlah aku daripada musuhku.
20 Engkau tahu bagaimana aku dikeji,
bagaimana aku dipermalukan dan dihina;
Engkau nampak semua musuhku.
21 Kekejian telah mematahkan hatiku,
aku menjadi putus asa.
Aku mencari orang yang berbelas kasihan, tetapi tidak aku dapati;
aku mencari orang yang menguatkan hatiku, tetapi tidak aku jumpai.
22 Ketika aku lapar, mereka memberi aku racun sebagai makanan;
ketika aku dahaga, mereka memberi aku cuka sebagai minuman. +
23 Biarlah jamuan mereka memerangkap mereka;
biarlah perayaan mereka menjerat mereka.
24 Biarlah mata mereka buta;
biarlah tulang belakang mereka lemah. +
25 Biarlah kemurkaan-Mu menimpa mereka;
biarlah berang-Mu menangkap mereka.
26 Biarlah perkhemahan mereka terlantar;
biarlah semua penghuninya binasa. +
27 Mereka menganiaya orang yang telah Engkau hukum;
mereka menambahkan penderitaan orang yang Engkau lukakan.
28 Catatlah semua dosa mereka;
jangan ampuni mereka.
29 Biarlah nama mereka dihapuskan dari kitab orang hidup,
dan tidak tercatat dalam daftar umat-Mu. +
30 Tetapi aku kesakitan dan putus asa;
angkatlah aku dan selamatkanlah aku, ya Allah!
31 Aku akan memuji Allah dengan nyanyian;
aku akan mengagungkan Dia dengan ucapan kesyukuran.
32 Hal ini akan lebih menggembirakan TUHAN daripada mempersembahkan korban lembu,
ataupun korban lembu jantan yang sudah cukup besar.
33 Apabila orang yang ditindas melihat hal ini, mereka akan bergembira;
orang yang menyembah Allah akan bersemangat.
34 TUHAN mendengar orang yang berkekurangan,
dan Dia tidak lupa akan umat-Nya yang dipenjarakan.
35 Pujilah Allah, hai langit dan bumi,
laut dan segala makhluk di dalamnya!
36 Dia akan menyelamatkan Yerusalem,
dan membina semula kota-kota Yehuda;
umat-Nya akan tinggal di sana;
negeri itu menjadi milik mereka.
37 Keturunan hamba-hamba-Nya akan mewarisi negeri itu,
semua orang yang mengasihi-Nya akan tinggal di situ.