79
Doa bagi Pembebasan Bangsa 
1 Mazmur Asaf. 
Ya Allah, orang yang tidak mengenal Engkau 
telah menyerang tanah-Mu. 
Mereka telah menajiskan 
Rumah-Mu yang suci 
dan meruntuhkan Yerusalem. + 
2 Mayat umat-Mu ditinggalkan mereka untuk dimakan burung pemakan bangkai. 
Mayat hamba-hamba-Mu dibiarkan mereka untuk dimakan binatang liar. 
3 Mereka menumpahkan darah umat-Mu seperti air; 
darah mengalir di seluruh Yerusalem, 
dan tiada orang yang tinggal untuk menguburkan orang mati. 
4 Bangsa-bangsa di sekeliling mengejek kami; 
mereka mentertawakan serta mengolok-olokkan kami. 
5 Ya TUHAN, berapa lamakah Engkau akan murka terhadap kami? 
Adakah kemurkaan-Mu akan terus membakar seperti api? 
6 Murkailah bangsa-bangsa yang tidak menyembah Engkau; 
orang yang tidak berdoa kepada-Mu, 
7 kerana mereka telah membunuh umat-Mu 
dan merosakkan negeri-Mu. 
8 Jangan hukum kami kerana dosa nenek moyang kami, 
tetapi kasihanilah kami sekarang 
kerana kami putus asa. 
9 Tolonglah kami, ya Allah, penyelamat kami; 
demi kehormatan-Mu sendiri, 
selamatkanlah kami dan ampunkanlah dosa kami. 
10 Jangan biarkan bangsa-bangsa lain bertanya, 
“Di manakah Allah kamu?” 
Hukumlah bangsa-bangsa itu di hadapan kami 
kerana menumpahkan darah hamba-hamba-Mu. 
11 Dengarlah rintihan orang tawanan, 
dan dengan kuasa-Mu yang besar, bebaskanlah mereka yang dihukum mati. 
12 Ya Tuhan, balaslah bangsa-bangsa itu tujuh kali ganda, 
bagi segala hinaan yang telah dilemparkan kepada-Mu. 
13 Lalu kami, umat-Mu, 
domba-domba-Mu, 
akan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya, 
dan memuji-Mu sampai turun-temurun. 
+ 79:1  2 Raj 25.8-10; 2 Taw 36.17-19; Yer 52.12-14
