80
Doa bagi Pemulihan Bangsa 
1 Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Bunga Bakung. Mazmur kesaksian Asaf. 
2 Dengarlah kami, hai Gembala umat Israel; 
Engkau yang mengetuai umat-Mu. 
3 tunjukkanlah diri-Mu 
kepada suku Efraim, Benyamin, dan Manasye! 
Nyatakanlah kuasa-Mu; 
datanglah dan selamatkanlah kami! 
4 Pulihkanlah kami, ya Allah! 
Kasihanilah kami supaya kami selamat! 
5 Ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa, 
sampai bilakah Engkau murka dan tidak mendengar doa umat-Mu? 
6 Engkau memberi kami kesengsaraan sebagai makanan, 
dan air mata yang banyak sebagai minuman. 
7 Engkau membiarkan bangsa-bangsa di sekeliling berperang 
kerana hendak merampas negeri kami; 
musuh-musuh mengejek kami. 
8 Pulihkanlah kami, ya Allah Yang Maha Kuasa. 
Kasihanilah kami supaya kami selamat. 
9 Engkau membawa umat-Mu yang seperti pokok anggur keluar dari Mesir; 
Engkau mengusir bangsa-bangsa lain, lalu menanam pokok itu di negeri mereka. 
10 Engkau menyediakan tanah baginya; 
akarnya mendalam dan menjalar ke seluruh negeri itu. 
11 Bayangnya meneduhkan bukit-bukit, 
dan dahan-dahannya menutupi pokok sedar yang besar. 
12 Cabang-cabangnya menjalar ke Laut Tengah, 
pucuk-pucuknya sampai ke Sungai Efrat. 
13 Mengapakah Engkau merobohkan pagar di sekelilingnya? 
Kini sesiapa yang lalu di situ dapat mencuri buah anggurnya. 
14 Babi hutan memijak-mijaknya, 
dan binatang liar pun memakannya. 
15 Berpalinglah kepada kami, ya Allah Yang Maha Kuasa. 
Pandanglah kami dari syurga; 
datanglah dan selamatkanlah umat-Mu! 
16 Selamatkanlah umat-Mu yang seperti pokok anggur yang Engkau tanam, 
pokok muda yang telah Engkau jadikan begitu kuat. 
17 Musuh kami telah membakar dan memotong pokok itu; 
biarlah mereka dibinasakan oleh kemurkaan-Mu! 
18 Lindungilah dan peliharalah umat yang telah Engkau pilih, 
bangsa yang telah Engkau jadikan begitu kuat. 
19 Tidak sekali-kali kami akan meninggalkan Engkau lagi; 
biarlah kami hidup, lalu Engkau akan kami puji. 
20 Pulihkanlah kami, ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa. 
Kasihanilah kami supaya kami selamat. 
