81
Lagu Perayaan 
1 Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Gitit. Mazmur Asaf. 
2 Bersoraklah dengan gembira kepada Allah, pembela kita; 
nyanyikanlah pujian kepada Allah Yakub. 
3 Mulakanlah muzik dan mainkanlah tamburin; 
mainkanlah lagu yang merdu dengan kecapi dan gambus. 
4 Tiuplah trompet untuk perayaan kita 
pada waktu bulan baru dan bulan purnama. + 
5 Inilah satu hukum untuk Israel, 
satu perintah daripada Allah Yakub. 
6 Dia memberikan hukum ini kepada umat Israel, 
ketika Dia menyerang negeri Mesir. 
Aku mendengar suara yang tidak aku kenal, berkata, 
7 “Aku telah mengangkat beban dari bahu kamu; 
dan membebaskan kamu daripada kerja paksa. 
8 Ketika kamu dalam kesusahan, kamu berseru kepada-Ku, 
dan Aku pun menyelamatkan kamu. 
Dari tempat persembunyian-Ku di dalam awan petir, 
Aku mengabulkan permintaan kamu; 
di mata air Meriba Aku menguji kamu. + 
9 Hai umat-Ku dengarlah amaran-Ku; 
Hai Israel, Aku sangat ingin kamu mendengar firman-Ku! 
10 Jangan sembah tuhan lain. + 
11 Akulah TUHAN, Allah kamu, 
yang membawa kamu keluar dari Mesir. 
Bukalah mulut dan Aku akan memberi kamu makan. 
12 Tetapi umat-Ku tidak mahu mendengar firman-Ku; 
Israel tidak mahu taat kepada-Ku. 
13 Oleh itu Aku membiarkan mereka mengikut kedegilan mereka, 
dan berbuat sesuka hati mereka. 
14 Sekiranya umat-Ku mendengar firman-Ku, 
sekiranya mereka taat kepada-Ku, 
15 Aku akan mengalahkan musuh mereka dengan segera, 
dan menaklukkan semua lawan mereka. 
16 Orang yang membenci Aku meromok ketakutan di hadapan-Ku; 
mereka akan dihukum selama-lamanya. 
17 Tetapi kamu akan Kuberi makan gandum pilihan, 
dan Kukenyangkan dengan madu hutan.” 
