86
Doa Minta Tolong 
1 Doa Daud. 
Dengarlah seruanku, ya TUHAN, dan kabulkanlah doaku, 
kerana aku lemah dan tidak berdaya. 
2 Selamatkanlah aku daripada maut, kerana aku setia kepada-Mu; 
selamatkanlah aku, hamba-Mu yang percaya kepada-Mu. 
3 Engkaulah Allahku; kasihanilah aku; 
sepanjang hari aku berdoa kepada-Mu. 
4 Ya Tuhan, gembirakanlah hati hamba-Mu, 
kerana aku menaikkan doa kepada-Mu. 
5 Ya Tuhan, Engkau baik dan suka mengampuni orang, 
Engkau mengasihi mereka yang berdoa kepada-Mu. 
6 Dengarlah doaku, ya TUHAN, 
dengarlah aku minta pertolongan. 
7 Ketika aku dalam kesusahan, aku berseru kepada-Mu 
kerana Engkau mengabulkan doaku. 
8 Tiada tuhan yang seperti Engkau, ya Tuhan, 
tiada yang dapat melakukan apa yang Engkau lakukan. 
9 Semua bangsa yang telah Engkau cipta akan datang, ya Tuhan, 
untuk menyembah-Mu dan memuji kebesaran-Mu. + 
10 Engkau berkuasa dan melakukan perkara yang ajaib; 
hanya Engkaulah Allah. 
11 Ajarlah aku kehendak-Mu, ya TUHAN, 
dan aku akan menurutnya dengan setia; 
ajarlah aku menghormati Engkau dengan sungguh-sungguh. 
12 Aku akan memuji Engkau dengan sepenuh hati, ya Tuhan, Allahku; 
aku akan mengisytiharkan kebesaran-Mu selama-lamanya. 
13 Betapa besarnya kasih-Mu untukku; 
Engkau telah menyelamatkan aku dari kubur. 
14 Ya Allah, orang sombong datang melawan aku; 
sekumpulan orang kejam berusaha untuk membunuh aku; 
mereka tidak mempedulikan Engkau. 
15 Tetapi Engkau, ya Tuhan, Allah pengasih dan penyayang, 
sentiasa sabar, baik, dan setia. 
16 Pandanglah aku dan kasihanilah aku; 
kuatkanlah aku dan selamatkanlah aku, 
kerana aku mengabdi kepada-Mu seperti ibuku dahulu. 
17 Ya TUHAN, buktikanlah kebaikan-Mu kepadaku, 
maka mereka yang membenci aku akan tersipu-sipu, 
ketika melihat Engkau menghiburkan dan menolong aku. 
+ 86:9  Why 15.4
