Sumbangan untuk Pembinaan Rumah TUHAN
29
1 Raja Daud bertitah kepada semua orang yang berkumpul di situ, “Putera beta, Salomo telah dipilih khas oleh Allah. Tetapi dia masih muda dan tidak berpengalaman, sedangkan pekerjaan ini sangat besar. Lagipun yang akan dibina bukan istana untuk manusia, melainkan rumah untuk TUHAN Allah.
2 Bahan-bahan untuk rumah itu dan perabotnya telah beta sediakan dengan segenap kemampuan beta. Beta telah menyediakan emas, perak, gangsa, besi, kayu, batu-batu berharga dan batu-batu permata, batu-batu beraneka warna untuk hiasan, dan batu marmar yang banyak sekali. +
3 Selain itu, beta juga telah menyerahkan perak dan emas daripada harta milik beta sendiri kerana cinta beta kepada rumah Allah beta.
4-5 Beta memberikan lebih 100 tan emas yang terbaik dan hampir 240 tan perak tulen, untuk melapisi dinding Rumah TUHAN, dan untuk benda-benda yang harus dibuat oleh para tukang. Oleh itu, sekarang siapakah lagi mahu memberikan persembahan kepada TUHAN dengan senang hati?”
6 Kemudian para ketua puak, ketua suku, panglima, dan pengurus harta milik raja menyatakan keinginan mereka untuk memberikan sumbangan.
7 Mereka memberikan yang berikut bagi pembinaan Rumah TUHAN: lebih 170 tan emas, lebih 340 tan perak, hampir 620 tan gangsa, dan lebih 3,400 tan besi.
8 Orang yang mempunyai batu permata, menyerahkannya kepada Yehiel untuk dimasukkan ke dalam perbendaharaan Rumah TUHAN. (Yehiel seorang Lewi daripada puak Gerson.)
9 Rakyat memberikan sumbangan kepada TUHAN dengan ikhlas dan rela hati. Mereka bersukacita kerana banyak pemberian telah disumbangkan dan Raja Daud pun sangat bersukacita.
Raja Daud Memuji Allah
10 Di hadapan semua orang yang berhimpun di situ, Raja Daud memuji TUHAN. Baginda berdoa, “Ya TUHAN Allah yang disembah Yakub, nenek moyang kami, terpujilah Engkau selama-lamanya!
11 Engkau sungguh besar dan berkuasa. Engkau mulia, semarak, dan agung! Segala sesuatu di langit dan di bumi adalah milik-Mu. Engkaulah raja agung, penguasa atas segalanya. +
12 Segala harta dan kekayaan berasal daripada-Mu; segala sesuatu Engkau kuasai dengan kekuatan dan kekuasaan-Mu; Engkau berkuasa membuat sesiapa sahaja menjadi orang besar dan kuat.
13 Sekarang, ya Allah kami, kami mengucap syukur kepada-Mu dan kami memuji nama-Mu yang agung.
14 Aku dan rakyatku sesungguhnya tidak dapat memberikan apa-apa kepada-Mu, kerana segalanya adalah pemberian-Mu dan apa yang kami berikan ini kepunyaan-Mu juga.
15 Engkau tahu, ya TUHAN, bahawa seperti nenek moyang kami, kami pun hidup sebagai pendatang dan orang asing. Hidup kami seperti bayangan yang berlalu, dan kami tidak dapat lepas daripada kematian.
16 Ya TUHAN, Allah kami, semua barang berharga ini kami kumpulkan di sini untuk membina sebuah rumah bagi-Mu supaya kami dapat menghormati nama-Mu yang suci. Tetapi semua ini kami terima daripada-Mu sendiri dan kepunyaan-Mu juga.
17 Aku tahu bahawa Engkau menguji hati setiap orang dan Engkau berkenan kepada orang yang murni hatinya. Dengan tulus ikhlas dan rela hati, aku mempersembahkan semua ini kepada-Mu. Aku telah menyaksikan umat-Mu yang berkumpul di sini membawa persembahan mereka kepada-Mu dengan senang hati.
18 Ya TUHAN Allah, yang disembah oleh Abraham, Ishak, dan Yakub, nenek moyang kami, kiranya Engkau menjaga umat-Mu supaya tetap mengasihi Engkau seperti sekarang ini, dan tolonglah supaya mereka setia kepada-Mu untuk selama-lamanya.
19 Kurniailah anakku, Salomo, keinginan yang sungguh-sungguh untuk mentaati semua perintah-Mu dan untuk membina rumah ibadat yang persiapannya telah kusediakan.”
20 Selepas berdoa demikian, Raja Daud bertitah kepada orang ramai yang berkumpul di situ, “Pujilah TUHAN Allah kamu!” Kemudian semua orang itu memuji-muji TUHAN, Allah yang disembah nenek moyang mereka. Selepas itu mereka bersujud untuk menghormati TUHAN dan raja.
21 Esok harinya, mereka menyembelih binatang-binatang untuk dipersembahkan sebagai korban kepada TUHAN. Kemudian korban-korban itu diberikan kepada segenap rakyat. Selain itu ada 1,000 ekor lembu jantan, 1,000 ekor domba jantan, dan 1,000 ekor domba muda yang dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN,o di atas mazbah. Mereka juga mempersembahkan wain yang diwajibkan untuk korban-korban itu.
22 Pada hari itu mereka makan dan minum dengan gembira di hadapan TUHAN.
Kemudian untuk kali kedua mereka mengisyhtiharkan Salomo sebagai raja. Atas nama TUHAN, mereka melantik Salomo menjadi raja, dan Zadok menjadi imam.
23 Sebagai pengganti Raja Daud ayahandanya, Salomo naik takhta yang telah ditetapkan oleh TUHAN. Raja Salomo ialah raja yang berjaya dan ditaati oleh segenap bangsa Israel. +
24 Semua pegawai kerajaan dan tentera, bahkan semua putera Raja Daud yang lain mengakui kekuasaan Salomo sebagai raja.
25 TUHAN membuat segenap bangsa itu kagum akan Raja Salomo, dan TUHAN menjadikan baginda raja yang lebih agung daripada raja-raja lain yang pernah memerintah Israel.
Ringkasan Pemerintahan Raja Daud
26 Raja Daud anak Isai memerintah seluruh Israel
27 selama 40 tahun. Baginda memerintah di Hebron selama tujuh tahun dan di Yerusalem selama 33 tahun. +
28 Baginda kaya dan terhormat, dan mangkat pada usia lanjut. Salomo, puteranya menjadi raja menggantikan baginda.
29 Riwayat hidup Raja Daud dari mula sampai akhir telah dicatat di dalam kitab tiga orang nabi: Nabi Samuel, Nabi Natan, dan Nabi Gad.
30 Kitab-kitab itu menceritakan kisah pemerintahannya, kekuasaannya dan segala yang berlaku kepada dirinya, kepada Israel, dan kepada kerajaan-kerajaan di sekitar Israel.