2 TAWARIKH
Kata Pengantar
Kitab 2 Tawarikh adalah lanjutan kitab 1 Tawarikh. Kitab ini bermula dengan kisah pemerintahan Raja Salomo sampai kemangkatannya. Setelah menceritakan kisah pemberontakan suku-suku utara di bawah pimpinan Yerobeam terhadap Raja Rehabeam, putera Raja Salomo dan pengganti baginda, kitab ini hanya menceritakan sejarah Yehuda, iaitu kerajaan selatan, sampai kejatuhan Yerusalem pada tahun 586 Sebelum Masihi.
Kandungan
Pemerintahan Raja Salomo 1.1—9.31
a. Tahun-Tahun Permulaan 1.1-17
b. Pembinaan Rumah TUHAN 2.1—7.10
c. Tahun-Tahun Kemudian 7.11—9.31
Pemberontakan Suku-Suku Utara 10.1-19
Raja-Raja Yehuda 11.1—36.12
Kejatuhan Yerusalem 36.13-23
Raja Salomo Berdoa Meminta Kebijaksanaan
(1 Raj 3.1-15)
1
1 Raja Salomo, putera Raja Daud mengukuhkan pemerintahannya atas Israel, dan TUHAN, Allahnya memberkati baginda, serta menjadikan baginda sangat berkuasa.
2 Raja Salomo memerintahkan semua pegawai yang mengetuai pasukan yang terdiri daripada seribu orang dan seratus orang, dan semua pegawai kerajaan, semua ketua keluarga, serta segenap rakyat
3 supaya mengikut baginda ke tempat ibadat di Gibeon. Mereka pergi ke sana kerana Khemah TUHAN terletak di sana. Khemah TUHAN itu dibuat oleh Musa, hamba TUHAN, di padang gurun dahulu. (
4 Tetapi Tabut Perjanjian telah dibawa ke Yerusalem, dan disimpan di dalam khemah yang dibina oleh Raja Daud ketika baginda memindahkan Tabut itu dari Kiryat-Yearim.) +
5 Mazbah gangsa yang dibuat oleh Bezaleel anak Uri, cucu Hur, juga ada di Gibeon, di hadapan Khemah TUHAN. Raja Salomo dan segenap rakyat menyembah TUHAN di situ. +
6 Di hadapan Khemah itu raja menyembah TUHAN dengan mempersembahkan korban di atas mazbah gangsa. Baginda mempersembahkan seribu ekor binatang di atas mazbah itu, sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.a
7 Pada malam itu Allah menampakkan diri kepada Raja Salomo dan bertanya kepadanya, “Apakah yang engkau ingin Aku berikan kepadamu?”
8 Raja Salomo menjawab, “Engkau telah menunjukkan kasih yang besar kepada Daud, bapaku. Sekarang Engkau telah mengizinkan aku menggantikan dia sebagai raja.
9 Ya TUHAN Allah, tepatilah janji yang Engkau buat kepada bapaku. Engkau telah melantik aku menjadi raja bagi satu umat yang begitu besar bilangannya sehingga tidak dapat dihitung. +
10 Oleh itu kurniailah aku kebijaksanaan dan pengetahuan yang aku perlukan untuk memerintah mereka. Jika tidak, aku tidak sanggup memerintah umat-Mu yang banyak ini.”
11 Allah berfirman kepada Salomo, “Engkau telah membuat pilihan yang tepat. Engkau tidak meminta kekayaan, atau harta, atau kemasyhuran, atau kematian musuhmu, ataupun umur panjang untuk dirimu sendiri; sebaliknya engkau meminta kebijaksanaan dan pengetahuan supaya engkau dapat memerintah umat-Ku, dan engkau telah Kujadikan raja mereka.
12 Aku akan mengurniakan kebijaksanaan dan pengetahuan kepadamu. Selain itu, Aku juga akan mengurniai engkau kekayaan dan harta yang lebih banyak lagi, serta menjadikan engkau lebih termasyhur daripada raja lain baik pada masa lampau mahupun pada masa hadapan.”
Kekuasaan dan Kekayaan Raja Salomo
(1 Raj 10.26-29)
13 Kemudian Raja Salomo meninggalkanb tempat ibadat di Gibeon, iaitu tempat Khemah TUHAN, lalu baginda pulang ke Yerusalem. Di sana baginda memerintah Israel.
14 Raja Salomo melengkapi angkatan perangnya dengan 1,400 buah kereta kuda, dan 12,000 ekor kuda untuk pasukan berkuda. Sebahagian angkatan itu ditempatkannya di Yerusalem, dan yang lain ditempatkan di berbagai-bagai kota lain. +
15 Pada masa pemerintahan Raja Salomo, perak dan emas menjadi barang biasa seperti batu di Yerusalem, dan kayu sedar pun banyak seperti kayu ara di kaki bukit di Yehuda.
16 Para peniaga yang bertugas untuk raja, mengimport kuda dari Musric dan Kilikia,d
17 dan mengimport kereta kuda dari Mesir. Kemudian kuda dan kereta kuda itu dieksport kepada raja-raja Het dan raja-raja Siria dengan harga 150 keping wang perak untuk seekor kuda, dan 600 keping wang perak untuk sebuah kereta kuda.
+ 1:4 2 Sam 6.1-17; 1 Taw 13.5-14, 15.25-16.1
+ 1:5 Kel 38.1-7
a 1:6 Korban untuk menyenangkan hati TUHAN: Harfiah: Korban bakar. Lihat Kamus.
+ 1:9 Kej 13.16, 28.14
b 1:13 Beberapa buah naskhah terjemahan kuno: meninggalkan. Naskhah Ibrani: datang ke.
+ 1:14 1 Raj 4.26
c 1:16 Musri. Naskhah Ibrani: Mesir.
d 1:16 Musri dan Kilikia: Dua buah negeri pada zaman purba yang kini adalah tenggara Turki; pada zaman Raja Salomo kedua-dua buah negeri itu ialah pusat pembiakan kuda.