Persiapan untuk Membina Rumah TUHAN
(1 Raj 5.1-18)
2
1 Raja Salomo mengambil keputusan untuk membina rumah, tempat beribadat kepada TUHAN, dan juga sebuah istana untuk dirinya sendiri.
2 Baginda menyuruh 70,000 orang untuk mengangkut barang-barang, 80,000 orang untuk memahat batu di perbukitan, dan 3,600 orang mandur untuk mengawasi pekerjaan itu.
3 Raja Salomo mengirim berita kepada Raja Hiram dari Tirus, “Adakanlah hubungan perdagangan dengan beta sebagaimana tuanku pernah mengadakan hubungan perdagangan dengan ayahanda beta, Raja Daud. Tuanku telah menjual kayu sedar kepadanya ketika baginda membina istananya.
4 Beta hendak membina sebuah rumah ibadat untuk menghormati TUHAN, Allah beta. Rumah itu akan menjadi tempat yang suci, tempat rakyat dan beta sendiri menyembah TUHAN dengan membakar kemenyan yang harum; di sana beta dan rakyat beta akan sentiasa mempersembahkan roti yang suci dan juga korban untuk menyenangkan hati TUHAN pada tiap-tiap pagi dan petang, pada hari-hari Sabat, pada perayaan Bulan Baru, dan pada perayaan-perayaan lain. Beta dan rakyat beta hendak menghormati TUHAN, Allah kami. Dia telah memerintah umat Israel untuk berbuat demikian selama-lamanya.
5 Beta bercadang untuk membina sebuah rumah ibadat yang agung, kerana Allah kami lebih agung daripada tuhan-tuhan lain.
6 Namun siapakah yang benar-benar dapat membina rumah bagi Allah? Seluruh angkasa raya pun tidak cukup besar untuk menjadi tempat tinggal-Nya. Oleh itu rumah yang beta bina bagi-Nya hanya sekadar tempat untuk membakar kemenyan kepada Allah. +
7 Hantarlah seorang tukang kepada beta. Dia harus pandai mengukir dan mahir membuat barangan daripada emas, perak, gangsa, dan besi, dan juga pandai membuat kain berwarna biru, ungu, dan merah. Dia akan bekerja dengan tukang-tukang dari Yehuda dan Yerusalem yang telah dipilih oleh ayahanda beta, Raja Daud.
8 Beta tahu bahawa tuan mempunyai penebang kayu yang handal; oleh itu kirimlah kayu sedar, kayu sipres, dan kayu cendana dari Lebanon kepada kami. Beta bersedia mengirim para pekerja beta untuk menolong para pekerja tuanku bagi
9 menyiapkan balak yang banyak, kerana Rumah TUHAN yang hendak beta bina ini besar dan indah.
10 Untuk bekalan para pekerja tuanku, beta akan mengirim 2,000 tan gandum, 2,000 tan barli, 400,000 liter wain, dan 400,000 liter minyak zaitun.”
11 Raja Hiram mengirim surat kepada Raja Salomo dengan jawapan seperti berikut, “Kerana TUHAN mengasihi umat-Nya, Dia telah melantik tuanku menjadi raja mereka.
12 Terpujilah TUHAN, Allah Israel, Pencipta langit dan bumi! Dia telah memberi Raja Daud seorang putera yang bijak, berpengetahuan, dan cerdas, yang kini merancang untuk membina sebuah rumah bagi TUHAN dan sebuah istana bagi dirinya.
13 Beta mengirim Huram, seorang tukang yang mahir dan bijak, kepada tuanku.
14 Ibunya daripada suku Dan dan bapanya orang Tirus. Dia mahir membuat barangan daripada emas, perak, gangsa, besi, batu, dan kayu. Dia dapat membuat kain berwarna biru, ungu, merah, dan kain linen. Dia dapat mengukir berbagai-bagai bentuk ukiran, dan dapat mengikut apa sahaja reka bentuk yang dicadangkan kepadanya. Biarlah dia bekerja dengan tukang-tukang tuanku dan orang yang telah bekerja untuk Raja Daud, ayahanda tuanku.
15 Oleh itu kirimlah gandum, barli, wain, dan minyak zaitun kepada kami seperti yang tuanku janjikan.
16 Kami akan menebang kayu sedar di pergunungan Lebanon sebanyak yang tuanku perlukan. Kami akan mengikat balak-balak itu menjadi rakit, lalu menghanyutkannya di laut sampai ke Yope. Dari sana tuanku dapat membawanya ke Yerusalem.”
Pembinaan Rumah TUHAN Bermula
(1 Raj 6.1-38)
17 Raja Salomo membanci semua orang bangsa asing yang tinggal di negeri Israel, seperti yang telah dilakukan oleh ayahandanya, Raja Daud. Kesemuanya ada 153,600 orang bangsa asing yang menjadi penduduk tetap di sana.
18 Raja Salomo memerintah 70,000 orang antara mereka untuk mengangkut barang-barang, dan 80,000 orang untuk memahat batu di pergunungan. Baginda melantik 3,600 orang mandur untuk memastikan bahawa pekerjaan itu dilakukan.
+ 2:6 1 Raj 8.27; 2 Taw 6.18