SURAT PAULUS
KEPADA JEMAAH DI
ROMA
Kata Pengantar
Surat Paulus kepada Jemaah di Roma ditulis untuk menyediakan jemaah di situ bagi lawatan Paulus. Dia bercadang untuk bekerja antara orang Kristian di situ untuk sementara waktu. Kemudian dengan pertolongan mereka, dia berharap untuk meneruskan perjalanan ke Sepanyol. Dalam suratnya, Paulus menjelaskan makna kepercayaan kepada Yesus dan petunjuk yang praktis bagi kehidupan orang Kristian.
Setelah Paulus menyampaikan salam kepada jemaah di Roma dan memberitahu mereka bahawa dia berdoa bagi mereka, Paulus menyatakan tema suratnya: “Berita Baik itu menunjukkan cara bagaimana hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula, iaitu melalui kepercayaan kepada Allah, dari mula sehingga akhir” (1.17).
Kemudian Paulus menghuraikan tema itu. Semua orang, baik Yahudi mahupun bukan Yahudi, perlu berbaik semula dengan Allah, kerana mereka semua dalam kekuasaan dosa. Hubungan manusia dengan Allah menjadi baik, apabila mereka percaya kepada Yesus Kristus. Kemudian Paulus menjelaskan hidup baru yang dialami orang Kristian kerana hidup bersatu dengan Kristus. Hidup baru itu hasil daripada hubungan baru dengan Allah. Orang yang percaya kepada Yesus hidup damai dengan Allah. Mereka dibebaskan oleh Roh Allah daripada kuasa dosa dan maut. Dalam fasal 5-8 Paulus juga menjelaskan matlamat Taurat Allah dan kuasa Roh Allah dalam kehidupan orang yang percaya kepada Yesus. Kemudian Paulus menjelaskan hubungan antara orang Yahudi dan bukan Yahudi dalam rancangan Allah untuk umat manusia. Paulus menyimpulkan bahawa penolakan orang Yahudi terhadap Yesus adalah sebahagian daripada rancangan Allah. Hal itu berlaku supaya umat manusia boleh menerima rahmat Allah melalui Yesus Kristus. Paulus yakin bahawa orang Yahudi tidak akan selamanya menolak Yesus. Akhirnya Paulus menulis tentang cara hidup orang Kristian, terutama sekali dalam hal menunjukkan kasih kepada orang lain. Paulus juga mengemukakan hal lain seperti: pengabdian kepada Allah, kewajipan orang Kristian terhadap negara dan sesama orang Kristian, dan pelbagai soalan yang berkaitan dengan hati nurani. Paulus mengakhiri suratnya dengan pesanan peribadi dan pujian kepada Allah.
Kandungan
Pendahuluan dan Tema 1.1-17
Manusia Memerlukan Penyelamatan 1.18—3.20
Cara Allah Menyelamatkan Manusia 3.21—4.25
Hidup Baru kerana Bersatu dengan Kristus 5.1—8.39
Israel dalam Rancangan Allah 9.1—11.36
Kelakuan Orang Kristian 12.1—15.13
Penutup dan Salam Peribadi 15.14—16.27
1
1 Surat ini daripada Paulus, hamba Kristus Yesus, dan rasul yang dipilih serta dipanggil oleh Allah, untuk mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah.
2 Berita Baik itu telah dijanjikan oleh Allah sejak dahulu kala melalui nabi-nabi-Nya, dan janji itu tertulis di dalam Alkitab.
3 Berita Baik itu tentang Anak Allah, Tuhan kita Yesus Kristus. Sebagai manusia, Dia keturunan Daud,
4 tetapi sebagai ilahi, Dia ternyata Anak Allah, kerana dengan kuasa yang besar Allah membangkitkan-Nya daripada kematian.
5 Melalui Dia, Allah sudah menganugerahi aku tugas istimewa untuk menjadi seorang rasul, supaya aku dapat mengabdikan diri kepada Kristus dengan memimpin orang daripada semua bangsa agar percaya dan taat kepada-Nya.
6 Kamu yang tinggal di Roma juga termasuk dalam golongan mereka, kerana kamu pun sudah dipanggil oleh Allah untuk menjadi milik Yesus Kristus.
7 Oleh itu aku menulis surat ini kepada kamu semua di Roma yang dikasihi oleh Allah, dan yang sudah dipanggil oleh-Nya untuk menjadi umat-Nya.
Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan.
Doa Kesyukuran
8 Mula-mula sekali, aku bersyukur kepada Allah melalui Yesus Kristus bagi kamu semua, kerana seluruh dunia mendengar bahawa kamu percaya kepada Yesus.
9-10 Aku sentiasa mengingat kamu, setiap kali aku berdoa. Allah saksiku bahawa apa yang aku katakan itu benar. Dialah Allah yang aku taati dengan sepenuh hati dalam hal mengisytiharkan Berita Baik tentang Anak-Nya. Aku berdoa supaya Allah mengizinkan aku melawat kamu.
11 Aku sangat ingin berjumpa dengan kamu, supaya aku dapat berkongsi berkat daripada Roh Allah dengan kamu, untuk menguatkan kamu.
12 Maksudku adalah supaya kepercayaanku kepada Yesus boleh menguatkan kamu, dan kepercayaan kamu kepada Yesus boleh menguatkan aku.
13 Saudara-saudaraku, ketahuilah bahawa sudah banyak kali aku bercadang hendak melawat kamu, tetapi selalu ada sahaja halangannya. Aku ingin supaya pelayananku di kalangan kamu berhasil, seperti pelayananku di kalangan orang bukan Yahudi di tempat lain. +
14 Aku mempunyai kewajipan terhadap semua bangsa: yang beradab dan yang tidak beradab, yang berpendidikan dan yang tidak berpendidikan.
15 Itulah sebabnya aku ingin sekali mengisytiharkan Berita Baik itu kepada kamu juga, yang tinggal di Roma.
Kuasa Berita Baik
16 Aku yakin dengan sepenuhnya bahawa Berita Baik itu kuasa Allah yang menyelamatkan semua orang yang percaya kepada Yesus, mula-mula orang Yahudi, dan juga orang bukan Yahudi. +
17 Berita Baik itu menunjukkan cara bagaimana hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula,a iaitu melalui kepercayaan kepada-Nya, dari mula sehingga akhir. Hal itu seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Orang yang percaya kepada Allah sehingga hubungannya dengan Allah baik semula, orang itu akan hidup!”b +
Kesalahan Manusia
18 Dari syurga Allah menunjukkan kemurkaan-Nya terhadap segala dosa dan kejahatan manusia, kerana kejahatan menghalangi manusia untuk mengetahui ajaran benar tentang Allah.c
19 Allah menghukum manusia, kerana apa yang dapat diketahui orang tentang Allah sudah jelas, oleh sebab Allah sendiri sudah menyatakannya.
20 Sejak Allah menciptakan dunia, sifat-sifat Allah yang tidak kelihatan, baik kuasa-Nya yang kekal mahupun keadaan-Nya sebagai Allah, dapat difahami oleh manusia melalui segala yang sudah diciptakan-Nya. Oleh itu manusia sama sekali tidak mempunyai dalih untuk membela diri.
21 Mereka mengenal Allah, tetapi mereka tidak menghormati Dia sebagai Allah. Mereka tidak bersyukur kepada-Nya. Sebaliknya mereka memikirkan perkara yang bukan-bukan, dan fikiran mereka dipenuhi kegelapan. +
22 Mereka mengaku bijak, padahal mereka bodoh.
23 Mereka tidak menyembah Allah yang abadi, melainkan menyembah patung yang dibuat menurut rupa manusia yang fana, atau burung, atau binatang berkaki empat, ataupun binatang yang menjalar. +
24 Itulah sebabnya Allah membiarkan mereka dikuasai oleh keinginan hati untuk melakukan perkara yang hina dan keji. Mereka melakukan hal-hal yang memalukan terhadap satu sama lain.
25 Mereka menukar ajaran benar daripada Allahd dengan dusta. Mereka lebih suka menyembah dan mentaati apa yang diciptakan oleh Allah, daripada menyembah dan mentaati Allah yang menciptakan semuanya. Dialah yang seharusnya dipuji selama-lamanya! Amin.
26 Kerana manusia berbuat demikian, Allah menyerahkan mereka kepada hawa nafsu yang keji. Wanita melakukan hubungan jenis dengan sesama wanita, dan hal itu tidak sepatutnya dilakukan.
27 Begitu juga halnya dengan lelaki; mereka tidak lagi melakukan hubungan jenis dengan wanita, melainkan berahi terhadap sesama lelaki. Lelaki melakukan hubungan jenis dengan sesama lelaki, dan hal itu memalukan. Oleh itu mereka menerima hukuman yang setimpal dengan dosa mereka.
28 Kerana manusia tidak mahu mengakui Allah, Allah membiarkan fikiran mereka menjadi rosak, sehingga mereka melakukan hal-hal yang tidak senonoh.
29 Hati mereka penuh dengan kejahatan, kekejaman, ketamakan, kebusukan dan kedengkian, keinginan untuk membunuh, berkelahi, menipu, dan mendendam. Mereka suka mengumpat,
30 memburukkan nama orang lain; mereka sombong dan biadab, yang membenci Allahe dan bercakap besar. Mereka memikirkan cara-cara baru untuk melakukan kejahatan. Mereka melawan ibu bapa,
31 tidak berakhlak, memungkiri janji, dan tidak berperikemanusiaan.
32 Mereka tahu bahawa menurut hukum Allah, orang yang berbuat semua itu harus dihukum mati. Namun demikian mereka terus-menerus melakukan hal-hal itu; bahkan mereka menyetujui orang lain yang berbuat demikian.
+ 1:13 Kis 19.21
+ 1:16 Mrk 8.38
a 1:17 hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula; Harfiah: kebenaran Allah.
b 1:17 Orang yang percaya...orang itu akan hidup; atau Orang yang hubungannya dengan Allah menjadi baik semula, akan hidup kerana kepercayaannya.
+ 1:17 Hab 2.4
c 1:18 ajaran benar tentang Allah; Harfiah: kebenaran.
+ 1:21 Ef 4.17-18
+ 1:23 Ul 4.16-18
d 1:25 ajaran benar daripada Allah; Harfiah: kebenaran Allah.
e 1:30 biadab, yang membenci Allah; atau biadab, dan membenci Allah.