Hukuman Allah
2
1 Oleh itu, sahabatku, siapakah kamu sehingga mahu menyalahkan orang lain? Kamu sama sekali tidak mempunyai dalih untuk membela diri. Hal itu demikian, kerana apabila kamu menyalahkan orang lain, lalu kamu sendiri melakukan perbuatan yang sama, kamu menjatuhkan hukuman kepada diri kamu sendiri. +
2 Kita tahu bahawa keputusan Allah memang benar, apabila Dia menghukum orang yang berbuat demikian.
3 Tetapi sahabatku, kamu pun melakukan perkara-perkara yang kamu tuduhkan kepada orang lain. Kamu pasti tidak dapat melepaskan diri daripada hukuman Allah.
4 Kamu mungkin meremehkan kebaikan hati Allah, kemurahan hati-Nya, dan kesabaran-Nya yang tidak terhingga. Kamu tentu tahu bahawa Allah menunjukkan kebaikan hati-Nya kerana Dia mahu kamu bertaubat daripada dosa.
5 Kamu degil dan keras kepala. Oleh itu, kamu sendiri yang menjadikan hukuman kamu semakin berat pada Hari Kiamat apabila Allah menyatakan kemurkaan-Nya dan menjatuhkan hukuman yang adil.
6 Hal itu demikian, kerana Allah akan membalas setiap orang setimpal dengan perbuatannya. +
7 Allah akan memberikan hidup sejati dan kekal kepada mereka yang sentiasa berbuat baik, dan mengharapkan kemuliaan, penghormatan, dan hidup yang kekal.
8 Tetapi mereka yang mementingkan diri sendiri dan menolak Allahf supaya dapat melakukan kejahatan, akan ditimpa kemurkaan dan kemarahan Allah.
9 Setiap orang yang berbuat jahat akan menanggung kesengsaraan dan penderitaan: mula-mula orang Yahudi, dan juga orang bukan Yahudi.
10 Tetapi Allah akan memberikan kemuliaan, penghormatan, dan kesejahteraan kepada semua orang yang berbuat baik: mula-mula kepada orang Yahudi, dan juga kepada orang bukan Yahudi.
11 Hal itu demikian, kerana Allah menghakimi semua orang dengan adil. +
12 Orang bukan Yahudi tidak mempunyai Taurat Musa. Mereka berdosa dan binasa, tetapi mereka tidak dihukum menurut Taurat. Orang Yahudi mempunyai Taurat Musa. Mereka berdosa dan dihukum berdasarkan Taurat.
13 Hal itu demikian, kerana orang berbaik semula dengan Allah,g bukan dengan mendengar Taurat, tetapi dengan melakukan apa yang diperintahkan oleh Taurat.
14 Orang bukan Yahudi tidak mempunyai Taurat, tetapi apabila mereka dengan kemahuan sendiri melakukan apa yang diperintahkan oleh Taurat, hal itu menunjukkan bahawa mereka mengetahui apa yang patut dan yang tidak patut dilakukan, walaupun mereka tidak mempunyai Taurat.
15 Kelakuan mereka menunjukkan bahawa apa yang diperintahkan oleh Taurat tertulis di dalam hati mereka. Hati nurani mereka pun membuktikan hal itu, kerana fikiran mereka kadangkala menyalahkan dan kadangkala membenarkan perbuatan mereka.
16 Oleh itu, menurut Berita Baik yang aku khabarkan, hal itu akan berlaku pada Hari Kiamat apabila melalui Yesus Kristus, Allah akan menghakimi segala rahsia hati dan fikiran manusia.
Orang Yahudi dan Taurat Musa
17 Bagaimana dengan kamu sendiri? Kamu mengaku kamu orang Yahudi. Kamu bergantung kepada Taurat Musa dan membanggakan hubungan kamu dengan Allah.
18 Kamu mengetahui kehendak Allah, dan dengan mempelajari Taurat kamu sepatutnya tahu memilih apa yang baik.
19 Kamu yakin bahawa kamulah pemimpin orang buta dan kamu cahaya kepada mereka yang dalam kegelapan.
20 Kamu pendidik kepada orang yang bodoh, dan guru kepada orang yang belum matang. Kamu yakin bahawa di dalam Taurat, kamu mempunyai segala pengetahuan dan ajaran yang benar.h
21 Kamu mengajar orang lain, tetapi mengapa kamu tidak mengajar diri sendiri? Kamu berkata, “Jangan mencuri” - tetapi mengapa kamu sendiri mencuri?
22 Kamu berkata, “Jangan berzina” - tetapi mengapa kamu sendiri berzina? Kamu membenci berhala, tetapi mengapa kamu merompak rumah berhala?
23 Kamu bangga kerana memiliki Taurat, tetapi mengapa kamu mempermalukan Allah dengan tidak mentaati perintah-Nya?
24 Di dalam Alkitab tertulis, “Kerana kamu, orang Yahudi, Allah dikufuri oleh orang bukan Yahudi.” +
25 Jika kamu taat kepada Taurat, sunat kamu itu berfaedah. Tetapi jika kamu tidak mematuhi Taurat, sunat kamu itu sia-sia.
26 Jika orang bukan Yahudi yang tidak bersunat, mematuhi Taurat, tidakkah Allah akan menganggap mereka sebagai orang yang bersunat?
27 Oleh itu kamu orang Yahudi akan disalahkan oleh orang bukan Yahudi, kerana kamu yang mempunyai kitab Taurat dan yang bersunat, melanggar Taurat. Sedangkan mereka yang tidak bersunat, taat kepada Taurat.
28 Siapakah orang Yahudi sejati yang betul-betul bersunat? Mereka bukanlah orang yang pada nama sahaja orang Yahudi dan yang bersunat secara lahir sahaja.
29 Sebaliknya orang Yahudi sejati adalah orang yang berjiwa Yahudi dan hati mereka bersunat. Semua itu dilakukan oleh Roh Allah dan bukan oleh apa yang tertulis di dalam Taurat. Orang seperti itu menerima pujian daripada Allah, bukan daripada manusia. +