WAHYU
KEPADA YOHANES
Kata Pengantar
Wahyu kepada Yohanes ditulis ketika orang Kristian dianiaya kerana kepercayaan mereka kepada Yesus Kristus sebagai Tuhan. Tujuan utama penulisnya adalah memberikan harapan dan galakan kepada para pembacanya. Dia juga menggesa mereka supaya tetap setia pada masa mengalami penderitaan dan penganiayaan.
Sebahagian besar kitab ini mengandungi pelbagai wahyu dan penglihatan, yang dikemukakan dengan menggunakan lambang-lambang yang dapat difahami orang Kristian pada masa itu, tetapi tidak dapat difahami orang lain. Tema kitab ini diulang berkali-kali dalam bermacam-macam cara melalui pelbagai rangkaian penglihatan. Walaupun terdapat banyak perbezaan pendapat tentang tafsiran terperinci kitab ini, namun tema utamanya jelas: Melalui Kristus, akhirnya Allah akan mengalahkan semua musuh-Nya, termasuk Iblis. Apabila kemenangan itu tercapai, Allah pun akan mengurniakan syurga baru dan bumi baru kepada umat-Nya yang setia.
Kandungan
Pendahuluan 1.1-8
Penglihatan Pertama dan Surat-Surat kepada Jemaah di Tujuh Tempat 1.9—3.22
Naskhah Gulungan dengan Tujuh Buah Meterai 4.1—8.1
Tujuh Buah Trompet 8.2—11.19
Naga dan Dua Ekor Binatang 12.1—13.18
Berbagai-bagai Penglihatan 14.1—15.8
Tujuh Buah Cawan Kemurkaan Allah 16.1-21
Kemusnahan Babel, Kekalahan Binatang, Nabi Palsu, dan Iblis 17.1—20.10
Pengadilan Terakhir 20.11-15
Syurga Baru, Bumi Baru, dan Yerusalem Baru 21.1—22.5
Penutup 22.6-21
1
1 Kitab ini mengandungi peristiwa-peristiwa yang dinyatakan oleh Yesus Kristus. Allah memberitahukannya kepada Kristus, dan Kristus menunjukkan apa yang segera harus berlaku itu kepada hamba-hamba Allah. Kristus mengutus malaikat-Nya untuk memberitahu Yohanes, hamba-Nya semua peristiwa itu.
2 Yohanes menceritakan segala yang telah dilihatnya itu. Inilah laporannya tentang perkhabaran daripada Allah dan hal-hal yang dinyatakan oleh Yesus Kristus.
3 Berbahagialah orang yang membaca kitab ini kepada jemaah. Berbahagialah mereka yang mendengarkan perkhabaran nubuat ini serta taat kepada apa yang tertulis di dalam kitab ini, kerana tidak lama lagi semuanya ini akan berlaku.
Salam kepada Jemaah di Tujuh Buah Tempat
4 Daripada Yohanes kepada jemaah di tujuh buah tempat di daerah Asia:
Terimalah berkat dan kesejahteraan daripada Allah, iaitu Dia yang ada, yang sudah ada, dan yang akan datang, serta daripada tujuh roh yang di hadapan takhta-Nya, +
5 dan daripada Yesus Kristus, saksi yang setia. Dialah yang pertama sekali dibangkitkan daripada kematian dan Dialah pemerintah raja-raja dunia.
Yesus mengasihi kita, dan dengan kematian-Nya Dia membebaskan kita daripada dosa-dosa kita. +
6 Kristus menjadikan kita imam yang memerintah bersama-sama Dia dan yang mengabdikan diri kepada Allah, Bapa-Nya. Marilah kita muliakan keagungan dan kekuasaan Yesus Kristus yang kekal itu. Amin! +
7 Lihatlah, Dia datang dengan awan! Semua orang akan melihat Dia, termasuk juga mereka yang sudah membunuh Dia. Semua bangsa di bumi akan meratap kerana Dia. Ya, tentu! Amin! +
8 “Akulah yang pertama dan yang terakhir,” firman Tuhan, Allah Yang Maha Kuasa, yang ada, yang sudah ada, dan yang akan datang. +
Penglihatan tentang Kristus
9 Aku Yohanes, saudara kamu, juga mengalami penderitaan yang dialami oleh setiap pengikut Yesus. Kita menantikan Pemerintahan-Nya dan harus menanggung penderitaan dengan tabah hati. Aku dibuang ke pulau Patmos kerana mengisytiharkan firman Allah dan hal-hal yang dinyatakan oleh Yesus.
10 Pada hari Tuhan, Roh Allah menguasai aku, lalu aku mendengar suara yang kuat dan jelas, seperti bunyi trompet, berkata-kata di belakangku.
11 Suara itu berkata, “Tuliskanlah apa yang engkau lihat dan kirimlah kitab ini kepada jemaah di tujuh buah kota berikut: Efesus, Smirna, Pergamus, Tiatira, Sardis, Filadelfia, dan Laodikia.”
12 Aku menoleh ke belakang untuk melihat siapa yang berkata-kata kepadaku. Lalu aku nampak tujuh buah kaki pelita daripada emas.
13 Di tengah-tengah kaki pelita itu ada sesusuk tubuh yang kelihatan seperti manusia. Dia memakai jubah yang panjangnya sampai ke kaki dan dada-Nya dililiti seutas pengikat daripada emas. +
14 Rambut-Nya sangat putih, seputih kapas, dan mata-Nya bernyala-nyala seperti api.
15 Kaki-Nya bersinar seperti gangsa yang sudah dibersihkan dan digosok, dan suara-Nya seperti deruman air terjun yang besar. + +
16 Tangan kanan-Nya memegang tujuh buah bintang, dan dari mulut-Nya keluar sebilah pedang tajam yang bermata dua. Muka-Nya terang seperti matahari pada waktu tengah hari.
17 Ketika aku melihat-Nya, aku meniarapkan diri di hadapan-Nya seperti orang mati. Dia meletakkan tangan kanan-Nya padaku lalu berfirman, “Janganlah takut! Akulah yang awal dan yang penghujung. +
18 Akulah Dia yang hidup! Aku sudah mati, tetapi lihatlah, Aku hidup selama-lamanya. Aku berkuasa atas kematian dan atas dunia orang mati.a
19 Oleh itu, tulislah perkara-perkara yang engkau lihat, iaitu perkara-perkara yang ada sekarang ini, dan perkara-perkara yang akan berlaku kelak.
20 Inilah makna yang dilambangkan oleh tujuh buah bintang yang engkau lihat di tangan kanan-Ku dan oleh tujuh buah kaki pelita daripada emas itu. Tujuh buah bintang itu melambangkan para malaikat daripada jemaah di tujuh buah tempat itu, dan tujuh buah kaki pelita itu melambangkan jemaah di tujuh buah tempat itu.”
+ 1:4 Kel 3.14; Why 4.5
+ 1:5 Yes 55.4; Mzm 89.27
+ 1:6 Kel 19.6; Why 5.10
+ 1:7 Dan 7.13; Mat 24.30; Mrk 13.26; Luk 21.27; 1 Tes 4.17; Za 12.10; Yoh 19.34, 37
+ 1:8 Why 22.13; Kel 3.14
+ 1:13 Dan 7.13, 10.5
+ 1:15 Dan 7.9, 10.6
+ 1:15 Yeh 1.24, 43.2
+ 1:17 Yes 44.6, 48.12; Why 2.8, 22.13
a 1:18 dunia orang mati: Pada masa itu orang beranggapan bahawa orang mati berada di tempat yang gelap di bawah bumi.