Surat kepada Jemaah di Efesus
2
1 “Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Efesus:
Inilah perkhabaran daripada Dia yang memegang tujuh buah bintang pada tangan kanan-Nya dan yang berjalan di antara tujuh buah kaki pelita daripada emas.
2 Aku mengetahui apa yang telah kamu lakukan; Aku tahu bahawa kamu bekerja keras dan tabah menanggung penderitaan. Aku tahu bahawa kamu tidak tahan lagi dengan orang jahat. Kamu sudah menguji orang yang mengaku diri mereka rasul padahal bukan, dan kamu sudah mendapati mereka pendusta.
3 Kamu tabah menanggung penderitaan; kamu sudah menderita kerana Aku, dan kamu tidak putus asa.
4 Tetapi Aku mencela kamu tentang hal ini: Kamu tidak mengasihi Aku lagi seperti ketika kamu mula-mula percaya kepada-Ku.
5 Ingatlah betapa dalamnya kamu sudah jatuh ke dalam dosa. Bertaubatlah daripada dosa kamu dan lakukanlah apa yang kamu lakukan ketika kamu mula-mula percaya kepada-Ku. Jika tidak, Aku akan datang kepada kamu dan menyingkirkan kaki pelita kamu dari tempatnya.
6 Tetapi ada sesuatu yang baik pada kamu: Kamu membenci perbuatan pengikut Nikolaus, yang juga Aku benci.
7 Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah!
Mereka yang menang akan Aku benarkan makan buah dari pokok yang memberikan hidup, yang tumbuh di Taman Allah.” +
Surat kepada Jemaah di Smirna
8 “Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Smirna:
Inilah perkhabaran daripada Dia yang awal dan yang penghujung, yang sudah mati dan hidup semula. +
9 Aku mengetahui kesusahan kamu; Aku tahu bahawa kamu miskin - tetapi sebenarnya kamu kaya! Aku mengetahui fitnah yang dilemparkan kepada kamu oleh orang yang mengaku diri mereka Yahudi padahal bukan. Mereka dikuasai oleh Iblis!
10 Janganlah takut akan penderitaan yang tidak lama lagi akan kamu alami. Ketahuilah! Iblis akan menguji kamu. Dia akan memasukkan beberapa orang daripada kamu ke dalam penjara. Kamu akan mengalami penderitaan selama sepuluh hari. Hendaklah kamu setia kepada-Ku sampai mati, dan Aku akan mengurniai kamu hidup sejati dan kekal sebagai hadiah kemenangan.
11 Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah!
Mereka yang menang tidak akan mengalami derita kematian kedua.” +
Surat kepada Jemaah di Pergamus
12 “Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Pergamus:
Inilah perkhabaran daripada Dia yang memiliki sebilah pedang tajam bermata dua.
13 Aku mengetahui tempat kamu tinggal; di situlah Iblis bertakhta. Kamu setia kepada-Ku. Kamu bahkan tidak menafikan kepercayaan kamu kepada-Ku, semasa Antipas, saksi-Ku yang setia itu dibunuh di tempat Iblis tinggal.
14 Tetapi Aku mencela kamu tentang hal ini: Beberapa orang antara kamu mengikut ajaran Bileam. Dahulu Bileam mengajar Balak menjerumuskan umat Israel ke dalam dosa, dengan memujuk mereka makan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, dan dengan melakukan perbuatan cabul. +
15 Demikian juga ada beberapa orang antara kamu yang mengikut ajaran Nikolaus.
16 Oleh itu, bertaubatlah daripada dosa kamu! Jika tidak, Aku akan segera datang kepada kamu dan melawan semua orang itu dengan pedang yang keluar dari mulut-Ku.
17 Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah!
Mereka yang menang akan Aku kurniai manna yang tersembunyi. Aku juga akan mengurniai setiap orang daripada mereka seketul batu putih. Batu itu ditulisi nama baru, yang tidak diketahui oleh sesiapa pun, kecuali orang yang menerimanya.” +
Surat kepada Jemaah di Tiatira
18 “Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Tiatira:
Inilah perkhabaran daripada Anak Allah, yang mata-Nya bernyala-nyala seperti api, dan kaki-Nya bersinar seperti gangsa yang digosok.
19 Aku mengetahui semua yang sudah kamu lakukan. Aku tahu bahawa kamu saling mengasihi, kamu setia, kamu saling menolong, dan kamu tabah menanggung penderitaan. Aku tahu bahawa kamu sekarang melakukan lebih banyak kerja berbanding dahulu semasa kamu mula-mula percaya kepada-Ku.
20 Tetapi Aku mencela kamu tentang hal ini: Kamu membenarkan Izebel, perempuan yang mengaku dirinya pesuruh Allah mengajar umat-Ku. Dengan ajarannya, dia menyesatkan hamba-hamba-Ku sehingga mereka melakukan perbuatan cabul dan makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala. +
21 Aku sudah memberikan peluang kepadanya untuk bertaubat daripada dosa, tetapi dia tidak mahu berhenti melakukan perbuatan cabul.
22 Oleh itu, Aku akan menghukum dia dengan penyakit dan mereka yang berzina dengan dia akan mengalami penderitaan yang dahsyat. Aku akan melakukan semua itu sekarang juga, kecuali mereka bertaubat daripada perbuatan keji yang dilakukan bersama-sama dia.
23 Aku juga akan membunuh pengikut-pengikutnya, lalu semua jemaah akan tahu bahawa Akulah Dia yang menyelami fikiran dan hati manusia. Aku akan membalas kamu menurut perbuatan masing-masing. +
24 Tetapi kamu yang lain yang tinggal di Tiatira tidak mengikut ajaran jahat itu. Kamu tidak mempelajari ilmu daripada Iblis. Aku berkata kepada kamu bahawa Aku tidak akan membebani kamu dengan kewajipan lain.
25 Tetapi kamu harus terus berpegang kepada apa yang kamu miliki, sehingga Aku datang kelak.
26-28 Mereka yang menang, dan terus-menerus melakukan kehendak-Ku sehingga akhir, akan Aku kurniai kekuasaan seperti yang Aku terima daripada Bapa-Ku. Mereka akan menerima kekuasaan daripada-Ku untuk memerintah bangsa-bangsa dengan tangan besi dan untuk menghancurkan mereka seperti periuk tanah. Mereka juga akan menerima bintang fajar daripada-Ku. +
29 Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah!”
+ 2:7 Kej 2.9; Why 22.2; Yeh 28.13, 31.8
+ 2:8 Yes 44.6, 48.12; Why 1.17, 22.13
+ 2:11 Why 20.14, 21.8
+ 2:14 Bil 22.5, 7, 31.16; Ul 23.4; Bil 25.1-3
+ 2:17 Kel 16.14-15, 16.33-34; Yoh 6.48-50; Yes 62.2, 65.15
+ 2:20 1 Raj 16.31; 2 Raj 9.22, 30
+ 2:23 Mzm 7.10; Yer 17.10; Mzm 62.13
+ 2:26-28 Mzm 2.8-9